Anak ABAH di Rantau Orang

kelanaanakabah

Tinggal seminggu sebelum anak ABAH merantau ke tempat orang. Buat pertama kali, ke luar rumah berdikari, sakit demam, keringat dan air mata, perlu teguh mengelap mengusap, memujuk dan meneruskan hidup.

Anak ABAH yang sulung ini matang fikirnya. Kerana fikirnya begitu, sering juga terjebak dalam rasa tidak senang hati sesetengah orang. Ada yang merungut dengan ABAH sebab anak sulung ABAH ini semasa berusia 11 tahun, beliau membuat pengumuman agar murid-murid yang sudah bersunat solat di depan manakala yang belum bersunat solat di belakang. Bagi ABAH, itu kepimpinan. Bagi sesetengah orang, itu tidak sopan dan menunjuk pandai.

smita-perak

Foto ihsan Facebook SMITA

Sebab itu ABAH yakin, keputusan anak ABAH untuk bersekolah jauh di tengah bendang sana, adalah keputusan yang baik. Biar pun ABAH sendiri menguruskan sekolah lain yang hampir serupa, 15 minit perjalanan dari rumah.

Anak ABAH memang kena berdagang di negeri orang. Sunnah menuntut ilmu.

Negeri orang pun, bukanlah orang lain yang sesungguhnya lain.

Di negeri halaman ayah bondanya di negeri Perak.

Biar anak ABAH dapat santun budi cara ibu bapanya dibesarkan, yang ibu bapanya susah hendak wariskan dalam kehidupan kosmopolitan di ibu kota. Orang kota, bijak fikirnya, pandai hujahnya, tapi santun budi adakalanya pudar di celah keras hutan batu dan besi.

Sebab itu ABAH minta anak ABAH dengar nasihat ini. Abah boleh menyebutnya dalam bahasa aksiologi. Tetapi ABAH mahu anak ABAH menikmati mesej itu secara estetik. Dengar pesan orang dulu-dulu di dalam lagu Anak Dagang yang dulunya dinyanyikan oleh Kamariah Noor, tetapi dipopularkan semula oleh Sudirman.

ANAK DAGANG

Anak dagang di rantau orang
Biar pandai membawa diri

Jaga tutur kata
Jaga cermat peribahasa
Selalu berbudi tinggi

Biar merendah
Kata orang jangan dibantah
Fikir dahulu sebelum berkata

Anak dagang negeri orang
Jika selalu meninggikan diri

Sombong dan iri hati
Mementingkan kemahuan sendiri
Akhirnya mendapat keji

Peribahasa … manis jangan terus ditelan
Pahit terus jangan dibuang

Banyak yang anak ABAH kurang faham. Bahasa Melayunya tidak ke situ. Pembelajaran di sekolah kurang nilai estetik, menafsirĀ seni dan keindahan dalam bahasa kiasan juga perbandingan.

ABAH cuba huraikan satu-satu.

Agar kelana anak ABAH nanti ada berbekal.

Seperti mana orang dulu berpesan-pesan.

Beliau mahu anaknya jadi penuntut ilmu yang cintakan ilmu, bukan sekadar mengejar ukuran-ukuran duniawi.

Anakku,

Apabila kamu berada di tempat baru, kamu kena pandai membawa diri, yakni pandai menyesuaikan diri sebab manusia itu walaupun rambutnya sama hitam, hatinya lain-lain. Ada sesetengah benda biasa bagi kita, tidak biasa bagi orang lain, sesuai dengan orang lain, tidak kena dengan cara kita.

Sekolah kamu nanti sekolah yang mementingkan bahasa. Apabila bahasa yang dipentingkan, tingginya nilai di dalam bahasa itu bukan sekadar pada tata aturannya. Sebaliknya bahasa berganding dengan budi. Orang pun menyebutnya budi bahasa. Maka berbahasalah dengan baik. Jika setuju ada caranya. Jika tidak setuju pun ada caranya. Dengan orang tua kita hormati, dengan orang muda kita santuni.

Kata orang jangan dibantah. Engkau mungkin tidak membantah dengan berkata, tetapi ingatkan dirimu agar jangan gemar membantah walaupun di dalam diam. Dengar dahulu, fikir dan timbang. Yang benar engkau terima walaupun pahit. Yang salah, engkau tolak, namun jangan membelakangkan budi.

Semasa di negeri orang, kamu kena belajar membawa diri, tidak mementingkan diri sendiri. Jika di rumah, tangan kamu cepat mencapai peha ayam, kamu kenyang kerana ABAH maafkan. Tetapi di tempat orang, kalau kamu keji dalam berkongsi, orang lain kamu tidak peduli, perutmu kenyang tetapi jiwamu langgang. Denganmu orang tidak senang, dalam diam engkau mereka tinggalkan.

Benar sungguh kata peribahasa, bahawa yang kamu suka itu, yang manis-manis, belum tentu baik untuk kamu. Yang kamu tidak suka, yang kamu elak, belum tentu ia tidak baik untuk kamu. Maka yang manis, jangan terus ditelan. Yang pahit, jangan terus dibuang. Ambil masa melihat yang tersirat di sebalik yang tersurat, seperti pahit ubat yang menyembuhkan, dan manis gula yang mengundang derita.

 

image

Dalam ketawa kamu dan ABAH semasa berkereta pulang dari Salak Tinggi ke rumah, anak ABAH tidak sedar ada air mata orang tua berkaca memandang depan. Memujuk hati untuk redha dan melepaskan. ABAH pernah berada di kedudukan kamu, ABAH tahu ertinya langkah kamu yang kali ini.

Namun ABAH yakin, anak teruna yang dilepaskan, akan selalu ingin pulang. Anak teruna yang ditambat, siang malamnya melepaskan diri untuk menerobos pergi. Buat apa kami simpan pemuda yang jiwanya terpenjara. Lebih baik kami nantikan kepulangan anak datang yang seluhur hatinya apabila pulang. Moga engkau lebih selalu ingin pulang, kepada kami, atau kepada ummah yang memerlukanmu.

Engkau amanah kami daripada-Nya. Siapa kami untuk memindah milikmu ke dakapan kami yang sementara ini.

Selamat jalan anakanda. 13 tahun yang lalu kami namakan kamu Muhammad Saiful Islam dengan penuh kesedaran.

Berkelanalah kamu.

Pada mencari makna dirimu.

Kami doakan kamu selalu.

ABAH.MY

4 comments

  1. Teringat pengalaman diri sewaktu bersama arwah ABAH dulu….

    Ya Allah…Rahmatilah ABAH kami yg pernah berkeringat jerih membesarkan kami…

  2. menangis bila membacanya. anak ku kini masih setahun usianya. ttp sudah membayangkan mereka berkelana meninggalkan kami.
    semoga ustaz tabah dan semoga Saiful Islam sentiasa dalam lindunganNya

Leave a Reply to isneta salleh Cancel reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.