Beri Ruang Anak Mengambil Risiko Kehidupan

10921670_623838917716182_5177867977393410656_o

Saya tidak sanggup membayangkan anak saya pada usia belasan tahun pun masih tidak lepas untuk menyeberang jalan. Terukkah saya jika saya katakan, saya lebih rela anak saya kurang bernasib baik lalu dilanggar kereta semasa menyeberang jalan, berbanding memegang tangan mereka menyeberang jalan dari kecil sampai remaja?

Risk taking adalah satu aspek kognitif yang mesti diizinkan berlaku.

Anak saya minat subjek agama tetapi kurang berminat subjek ‘akademik’. Saya dan isteri memujuknya agar mengimbangkan minat tersebut. Namun akhirnya terserahlah kepada dia. Pilihan si anak akan menatijahkan akibat dan dia mesti diizinkan menerima akibat tersebut. Apabila keluar keputusan peperiksaan PSRA, beliau dapat mumtaz. Sesuailah dengan minatnya. Semasa keluarga bercuti pun masih menggendong buku JAIS, tanpa kami menekan jauh sekali memaksanya.

Seronok rupanya dapat mumtaz.

Baru terfikir, teringin mendapat ‘mumtaz’ yang sama di dalam UPSR.

Apabila keluar keputusan UPSR, hasilnya sesuai dengan usaha yang ditunjukkan sepanjang tahun. Anak kami tidak dapat 5A. Kami sudah pun mengucapkan tahniah kepada beliau kerana berjaya menamatkan pengajian sekolah rendah, dan menjadi seorang pelajar, juga abang kepada adik-adik, yang matang. Dapat anugerah ‘The Thinker Award’ semasa Graduation Day.

“Sedih ke tak dapat 5A?” ummi bertanya kepadanya.

“Sedih juga” jawab beliau, pendek.

“Boleh bezakan perasaan semasa dapat keputusan UPSR dan PSRA?” tanya ummi lagi.

“Faham” jawabnya perlahan.

Perasaan suka dan duka itu tidak boleh diajar. Ia hanya boleh dirasa. Seperti manisnya gula dan masinnya garam. Dan setelah merasa nikmatnya manis dan peritnya pahit, moga pengalaman itu mematangkan dirinya.

Sudah-sudahlah mengawal si anak.

Kerja sekolahnya kita buatkan. Rambutnya kita sikatkan. Baju rayanya kita tentukan. Mahu sekolah mana kita putuskan. Streaming aliran apa, kita pilihkan. Keputusan sambung belajar bidang apa di universiti kita buatkan. Nanti melarat sampai jodoh kita tentukan, sudah beranak pinak pun cuti sekolah mahu berkelah di mana, kita masih masuk campur juga?

Akibatnya karakter anak jadi lembik.

Tidak boleh membuat keputusan.

Tidak berani mengambil risiko kesilapan, kesalahan malah kemalangan.

Jika perempuan, bolehlah suami nanti lindungkan.

Jika lelaki, mahu jadi suami dan bapa yang bagaimana nanti?

Saya bukakan pilihan untuk anak saya buat keputusan mahu sambung sekolah mana. Saya bawa dia ke KMSS, sekolah yang saya design sebagai academic director dengan idea yang saya fikir sebagai idea terbaik. Dia suka dengan konsep pembelajaran di KMSS. Di sekolah itu juga bekas kawan-kawannya di KMS dulu ada yang bakal belajar bersama. Tetapi katanya, ada dua kekurangan KMSS yang menyebabkan dirinya mungkin tidak memilih KMSS. Pertama, sekolah berkenaan terlalu dekat dengan rumah. Kurang adventurous, katanya. Kedua, hari-hari dia akan jumpa saya, bapanya. Ia seperti tiada perubahan yang signifikan untuk hidupnya. Dia mahukan cabaran. Mahukan ruang sendiri untuk self actualization.

Saya hormati keputusan anak saya.

Keputusan budak berumur 12 tahun, yang saya didik agar matang berfikir semenjak kecil.

Maka sekarang dia bersekolah di sekolah yang jauh dari rumah kami. Sekolah di tengah bendang. Sekolah yang memberinya risiko kakinya berkudis digigit ulat Charlie. Tetapi di sekolah itu juga dia menghafal al-Quran, mengukuhkan bahasa Arab dan bahasa Inggerisnya, dan memperbaiki kebolehannya berfikir.

Sebulan pertama, sekolah syaratkan ibu bapa dan anak-anak tidak boleh berhubung. Anak saya bersetuju tanpa bertangguh. Saya bersetuju dan isteri pun bersetuju. Justeru, bermula 1 Januari 2015, kami lepaskan anak kami memulakan perjalanannya sebagai anak muda. Saya sudah bekalkan dengan nasihat. Malah saya bincangkan lirik lagu “Anak Dagang” nyanyian Sudirman kepadanya sehari dua sebelum ke sekolah.

Kami berdoa dan bertawakkal kepada Allah untuk keselamatan dan kejayaannya.

Sekolah bawa anak kami mandi air terjun, panjat gunung, berlari merentas desa di batasan sawah, menunggang kuda, bangun awal pagi, kami tengok dari jauh melalui kemaskini Facebook sekolah sekali sekala. Ada masanya bergenang air mata rindukan anak. Tetapi melihat anak khusyuk mengikuti semua program yang sekolah aturkan, kami bahagia dan berlapang dada.

Saya tidak akan campur urusan sekolah. Saya tidak akan tanya, kenapa bawa ke air terjun, tidak bahayakah, sudah diperiksa selamat daripada gejala kencing tikuskah? Semua itu saya tidak tanya dan tidak akan tanya.

Anak kami berpenyakit asthma. Selain semput bernafas, kulitnya juga sensitif dan mudah terkena eczema. Maka kami ajar dia do’s and don’ts sebagai pesakit asthma. Inhaler kami bekalkan. Kami ajarkan cara guna, dan kena patuh penggunaannya. Serangan asthma yang berulang kali adalah kerana poor control. Tak jaga diri. Tak jaga medication sebagaimana yang sepatutnya.

Justeru selama sebulan dia bersekolah jauh dari kami, dia okay.

Kami pun okay.

Apabila kami membuat keputusan mengizinkan anak kami belajar di asrama, ia bermaksud, kami mengambil risiko dan mengizinkan anak mengambil risiko. Saya adalah seorang bapa yang realistik. Saya yakin dengan integriti sekolah mentadbir, saya juga yakin dengan kebolehan sekolah menjaga keselamatan pelajarnya, dan saya sentiasa memaafkan kesilapan dan kekurangan sekolah, andai ada kesilapan dan kekurangan. Pendapat saya, salurannya adalah pelalui PIBG (PTA). Saya tidak akan sama sekali mengajar anak saya tidak menghormati sekolah dan guru.

Dan dalam tawakkal hidup berjauhan ini, saya realistik andai pertemuan terakhir saya dengan anak setiap kali berpisah, menjadi pertemuan terakhir kami, kerana saya, dia dan kita semua, sentiasa mati di antara dua pertemuan dan perpisahan.

Jika tidak sanggup mengambil risiko, simpanlah anak di bawah ketiak dan hasilkan seorang lelaki lembik atau perempuan selekeh yang akan hanya menyusahkan bakal isteri dan bakal suaminya suatu hari nanti, jauh sekalilah hendak menjadi pemimpin ummah!

ABAH.MY

  1. Mempunyai anak perempuan yang masih berumur 2 tahun membuatkan saya berfikir jauh setiap kali membaca tulisan Abah di sini tentang anak sulung lelaki ini. Bagaimana caranya Abah mendidik anak untuk dapat berfikir sendiri sematang itu pada usianya?

    Terasa perlu banyak lagi berusaha terutama dengan mengubah cara fikir kami sebagai ibu bapa yang menjadi nilai kepercayaan dalam keluarga. Cuma bimbang adakah kami melakukannya dengan cara yang betul?

    1. Hi, the easiest way to rotate a pattern 90 degrees is to rotate it before you define it as a patnret. Open your pattern, go to Image > Image Rotation > 90 ° CW, then go to Edit > Define Pattern.

  2. Apabila anak2 berada di sekolah, guru dan warden adatanggungjawabnya. Tidak cukup melihat pd face value, owh nampak sihat semuanya. Ada beza antara batuk, selsema dan athma. Worst, apabila ada pelajar mengadu sakit…patutkah dikatakan kepada pelajar itu, ..sikit sahaja, urut dada eloklah tu. Mungkin, sudah tidak tertanggung sakitnya, walaupun nampak ok…sampai mengadu. Jika tidak mahu hantar ke klinik, sekurang-kurangnya hubungi keluarga. Jika mwndapat mc klinik kerajaan selama 4 hari, serius sebenarnya.Staf saya meninggal asbabkan athma ( pastinya ajal telah ditentukan Allah). Beberapa jam sebelum itu, arwah bergelak ketawa dgn saya.

    1. Assalamualaikum Puan Hanita. Terima kasih kerana berkongsi pandangan di sini. Pada pandangan saya, selain masalah berkaitan kesihatan dan keselamatan, mungkin ibu bapa dan guru di sekolah perlu sama-sama memperbaiki komunikasi agar kedua belah pihak saling mendapat maklumat yang jelas untuk menentukan tindakan yang terbaik bagi anak-anak kita.

      Di sekolah tempat saya bertugas, guru-guru yang menjadi warden ramai yang muda-muda. Sebahagian mereka masih bujang dan belum berumahtangga. Maka, bukan sahaja common sense untuk mengambil tindakan yang terbaik itu kurang, tanpa pengetahuan yang betul berkaitan basic life support dan domestic trauma, boleh sahaja mereka memberikan reaksi yang tidak betul kepada aduan pelajar berkaitan kesihatan mereka. Saya yakin, jika guru di sekolah kami memberikan reaksi yang salah, ia bukanlah kerana sikap sambil lewa mempertaruhkan kesihatan pelajar. Sebaliknya disebabkan oleh kurang pengetahuan. Ada pun kakitangan yang melanggar batasan ini dan selepas dinasihat namun masih gagal memperbaiki, kami bertegas menamatkan perkhidmatan kakitangan sebegini kerana tiada tolak ansur dalam kepentingan pelajar. Kami tidak jadikan kekurangan maklumat dan kemahiran ini sebagai alasan untuk sambil lewa. Kursus dengan pihak hospital sedang diatur untuk basic CPR dan Trauma Management sedang dilakukan. Kami harap melalui bimbingan pegawai perubatan, guru kami bukan sahaja dapat berfungsi dengan baik di sekolah terutamanya ketika bertugas sebagai warden, malah supaya mereka juga dapat menjaga kebajikan ahli keluarga mereka di rumah. Insha-Allah.

      Kesilapan pihak warden dan guru dalam mana-mana kes, saya sarankan ia dibawa kepada perbincangan dengan pihak sekolah. Langkah yang paling tidak wajar adalah membawanya ke media sosial kerana selain mengaibkan sekolah dan membabitkan ramai pihak yang tiada kena mengena dengan hal ini, ia juga menyemai nilai yang salah kepada anak-anak untuk tidak menghormati pihak sekolah khususnya guru-guru yang membimbing mereka lillahi ta’ala. Sekolah wajib mendidik anak murid agar menghormati ibu bapa, dan ibu bapa juga wajib mendidik anak untuk menghormati guru. Tanpa salah satunya, pendidikan tidak akan sukses.

      Berkenaan kes asthma, saya yakin ada beberapa orang lagi pelajar di mana-mana sahaja sekolah mengidapnya. Saya akan usahakan Insha-Allah agar pelajar-pelajar yang asthma dikumpul dan dibawa kepada perbincangan khusus, agar mereka dapat sama-sama menjaga diri mereka (preventive) dan seterusnya boleh memberi tahu dengan betul kepada guru apabila berlaku serangan. Moga dengan ilmu, kita dapat tumpaskan kelemahan-kelemahan yang kita tidak mahu. Mohon maaf atas kekurangan saya secara peribadi dan pihak sekolah juga, sama-sama kita bekerjasama untuk memberi yang terbaik buat anak-anak yang dikasihi.

      1. Terima kasih ustaz. Saya tidak nyatakan mana-mana sekolah di sini. Saya menyatakan situasi.
        Sama juga coretan ustaz ini tidak merujuk kepada sesiapa, betul.

  3. kalau sayalah budak umur 12 tahun seperti diceritakan dalam artikel ini…saya rasa seronok sangat dapat buat keputusan sendiri nak belajar kat mana.

  4. wah menarik pendekatan ustaz dlm membina ummah..saling mperkukuhkan antara satu sama lain..situasi menang2..antara pelajar,ibubapa,pendidik dan kakitangan amnya..mungkin berdasarkan pengalaman yang luas,betapa pentingnya memperkukuhkan ilmu dalam apa jua bidang agar jawapan kita bukan jawapan yg sambil lewa mencetuskan rasa ‘kecurigaan’pengakhiran kominikasi yang gagal atas ego diri masing2..Wallahuaklam..sekadar pandangan…dan pengalaman yg sadis…:)

  5. Benar.

    Jangan terlalu ‘sayangkan’ anak sehingga ‘membebankan’ pabila mereka menginjak dewasa kelak.

    ‘Lembik’? Indeed..

Leave a Reply to Elida Cancel reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.