‘LEGAS’: Kombinasi Seimbang Lemah Lembut dan Tegas

permissive-parenting

Lemah lembut dan tegas bukanlah dua perkara yang mudah untuk digabung.

Apabila kita bersikap lemah lembut, kita juga sukar hendak bertegas.

Ketika mana kita bertegas, sulit pula untuk terus berlemah lembut.

Lazimnya apabila kita bertegas, kita berkeras, menggunakan kekerasan untuk menzahirkan ketegasan. Demikian juga apabila kita lemah lembut, kelembutan kita menjadi kelemahan dan sukar hendak menegaskan sesuatu.

ABAH yang lemah lembut dan tidak tegas, anaknya jadi macam Sazali.

ABAH yang garang, keras dan kasar, mungkin tidak perlu difilem-filemkan kerana itulah yang biasa ada di depan mata, dalam kehidupan kita.

Berbicara tentang hal sebegini, bukanlah betul atau salah pertimbangannya. Mana yang betul, mana yang salah, adalah persoalan yang rumit. Banyak sahaja contoh cara yang kita anggap salah itu menatijahkan yang baik-baik, banyak juga contoh yang kita anggap betul itu menatijahkan kekesalan, malah aib dan kekecewaan.

Hanyasanya, hal ini perlu dipertimbangkan pada mana yang lebih berkesan dan boleh membantu kita mencapai objektif, tanpa mengenepikan dinamiknya cara mendidik yang berubah dari satu keadaan ke satu keadaan yang lain.

Maka dengan sebab rahmat dari Allah , engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka, dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. [Āl ‘Imrān 3: 159]

Soalnya bukanlah betul atau salah. Tetapi mana yang menjinakkan, mana yang meliarkan. Yang menjinakkan mungkin akan membuka lebih banyak ruang mendidik dan menanam nilai. Manakala meliarkan lagi menjauhkan, menyebabkan kita sering terpaksa menunggu pengalaman yang pahit untuk menginsafi sesuatu.

Lebih-lebih lagi apabila Allah SWT mengaitkan keupayaan untuk berlemah lembut itu sebagai petanda melimpah ruahnya Rahmat Dia ke atas seseorang itu.

deprived-rifq-1u7hfez

Daripada Jarir r.a., beliau meriwayatkan Nabi sallallāhu ‘alayhi wa sallam pernah bersabda: barangsiapa yang terhalang daripada sifat lemah lembut, maka dia itu sebenarnya terhalang daripada kebaikan (yang banyak) [HR Muslim]

ANTARA TEGAS DAN BERLEMAH LEMBUT

Kita mungkin tersilap apabila mengikat erti ketegasan kepada fizikal, lemah lembut pula kepada pendirian dan sikap. Akibatnya, apabila kita mahu bertegas, kita melakukannya secara fizikal. Sedangkan cara fizikal itu sering pula tidak menzahirkan ketegasan sebagaimana yang kita mahu, terutamanya apabila anak akhirnya lebih keras daripada kekerasan bapa. Akibatnya bapa kalah kerana bapa menyayangi anak, lebih daripada keupayaan anak menyayangi bapanya. Sifat sayang boleh membatalkan ketegasan fizikal apabila bapa ‘berlemah lembut’ pada pendirian.

Apatah lagi, garangnya bapa itu selektif.

Garang pada pelajaran, ‘lemah lembut’ dalam agama.

“Besar esok tahulah dia sembahyang sendiri” bapa ‘merestui’ kemalasan anak mengerjakan solat.

Demikian juga berlemah lembut yang dikelirukan dengan sifat manja, beri muka, apa hendak semua dapat. Demi kasih sayang, diberikan apa sahaja menurut kemahuan si anak, melakar jalan ‘Sazali’.

METODE KHALIFAH

Apa yang saya belajar daripada metode khalifah, satu daripadanya adalah panduan untuk mengimbangkan ketegasan dan kelembutan.  Sama ada dalam konteks diri sebagai ABAH, atau pun sebagai pendidik di Sekolah Khalifah (KMSS).

LEGAS
‘LEGAS’ : Antara Lembut dan Tegas

Lembut, hendaklah dizahirkan melalui perlakuan-perlakuan fizikal. Senyuman, sentuhan tangan yang bersesuaian, menggunakan intonasi suara yang mewujudkan suasana positif, menjauhi kekerasan fizikal berbentuk tampar, cubit, luku, terajang, memukul dengan kayu dan rotan semasa marah dan menengking-nengking.

Lemah lembut secara fizikal itu adalah manifestasi rahmat Allah. Ia membuka ruang pembetulan, dan mesra pendidikan.

Berkeras secara fizikal, yang lahir bukan ketegasan tetapi keganasan. Natijahnya bukan kepatuhan dan kasih sayang, tetapi ketakutan dan kebencian. Ia menutup banyak ruang pembetulan, dan tidak mesra pendidikan.

Tegas pula, hendaklah dizahirkan melalui pendirian, peraturan dan keputusan. Wasilah untuk ia disampaikan, banyak bergantung kepada kekemasan berbahasa kita. Untuk bertegas, caranya bukan menengking. Tetapi menuturkan mesej kita dengan ayat yang berkuasa tinggi.

“Jangan” dan “tidak boleh” adalah perkataan yang biasa. Selalu guna, ia akan hilang bisa. Maka menyampaikan larangan, boleh memanfaatkan ayat-ayat lain yang lebih advance.

Teringat semasa saya hilang sabar dengar sikap sambil lewa peserta sebuah kem yang saya kendalikan suatu ketika dahulu. Demi untuk tidak bertukar menggunakan kekerasan, saya ‘bancuh’ peserta dengan ayat-ayat yang mereka mungkin tidak pernah dengar.

Sebab itulah dari semasa ke semasa, saya ingatkan diri saya juga guru-guru di sekolah kami agar menguatkan kebolehan berbahasa supaya ketegasan dikesan pada inti pati percakapan (mesej sebenar) dan bukannya pada intonasi.

Meninggi-ninggikan suara bukan cara untuk bertegas.

Tetapi pendirian yang tepat dan jelas, bersama penguatkuasaan secara positif, adalah apa yang diperlukan. Jika peraturan itu dipatuhi, ia diganjari dengan kebaikan yang munasabah. Dan semasa peraturan itu dilanggar, ia mesti menerima akibatnya secara yang munasabah. Membiarkan peraturan dilanggar, selain mengabaikan tuntutan amar makruf nahi munkar, mengheret seorang pemimpin keluarga kepada sifat dayus yang menghijab Syurga.

KESIMPULAN

Apabila mahu bertegas, tegaskan pendirian, dengan bahasa yang kemas. Jangan bertegas dengan kekasaran fizikal untuk menzahirkan ketegasan.

Apabila mahu berlemah lembut, lunakkan tindak tanduk tubuh badan, dengan lisan dan tangan yang mengasihi dan membahagiakan. Jangan berlemah lembut dengan toleransi peraturan untuk menzahirkan imej ‘cool‘, ‘sporting‘ atau ‘supporting‘.

Ia tidak mudah.

Ia adalah usaha berterusan, semata-mata demi redha-Nya.

ABAH.MY

  1. Salam ustaz, boleh tak beri contoh kata2 “saya ‘bancuh’ peserta dengan ayat-ayat yang mereka mungkin tidak pernah dengar.” Mmg biasanya kita akan guna perkataan ‘Jangan’ dan ‘Tidak’.

Leave a Reply to Husni Omar Cancel reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.