Kuasa Sebenar: Antara Magis dan Kasih Sayang

king_midas_and_the_gold

“Tapi Abi, magic lagi hebat” Saiful Islam berdebat dengan saya.

Tetap mahu membuktikan kuasa ILMU bukan kuasa yang diimpikannya.

“Kenapa pula?” saya bertanya.

“Ye la, dengan magic, kita boleh tukar dapat apa yang kita nak” hujahnya.

“Yop memang percaya magic tu wujud ke?” saya mahukan kepastian.

“Takde la. Saja je!” katanya.

Ketawa kecil.

Petang itu kami berbalas debat. Sebagai bapa, ada juga rasa sakit hati apabila hujah kita dinafikan oleh anak. Tetapi jika anak sudah dibiasakan berapa berpendapat dan mempertahankan pendapat, ibu bapa perlulah kuat semangat untuk mengendalikan ‘sesi latihan’ di rumah.

Tumpaskan ego.

Tingkatkan kesungguhan, mahu anak-anak berani berpendapat.

“Okay, Yop ingat tak cerita raja yang ada magic tu? Yang boleh tukar barang jadi emas” saya bertanya.

“Raja apa ya?” anak saya ingat-ingat lupa.

“Raja Midas. King Midas!” saya mengingatkannya.

“Hah, Yop ingat dah. Raja itu apabila dia sentuh barang, terus barang tu bertukar jadi emas. Sampai anak dia pun jadi emas” Saiful Islam menceritakan kembali apa yang beliau ingat tentang cerita ini.

“Hah, itulah contohnya. Kalau sentuh anak dengan magic, anak jadi ketulan emas. Dan emas ketika itu tidak berguna. Tapi kalau sentuh anak dengan kasih sayang, anak lebih berharga daripada emas. Betul tak?” saya menyudahkan kisah.

“Kuasa kasih sayang” Saif menyebut perlahan.

Seperti ada rasa kekok menyebutnya.

Saya juga kekok mendengarnya.

Menyebutnya di dalam ceramah tidak kekok. Menyebutnya dalam kondiri keluarga sendiri, baru teori benar-benar teruji. Rasa kekok itu jika dibiarkan, akan terus menjadi kekok dan menjauhkan diri daripada mencapai hajat. Ia perlu diatasi.

“Maknanya Yop, magic kalah dengan ilmu. Magic juga kalah dengan kasih sayang. Keputusan akhirnya, yang magic dalam hidup ini ialah ilmu dan kasih sayang” saya membuat rumusan.

“Macam mana tu?” tanya Saif.

“Ingat tak Abi pernah cerita kisah Da’thur bin al-Haris? Orang jahat, jumpa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam tengah berehat. Da’thur ambil pedang dan hulur ke tengkuk Rasulullah dan ugut dengan katanya “siapa yang boleh menyelamatkan kamu?” Ingat tak?” saya memetik kisah berkenaan.

“Lepas tu apa ye?” anak saya menyambung pertanyaan.

“Baginda menjawab: ALLAH! Da’thur terkejut dan pedang di tangannya terlepas. Rasulullah ambil pedang tu dan hunus kepada Da’thur dan tanya: siapa yang boleh menyelamatkan kamu? Da’thur takut dan yakin dia akan dihukum. Tetapi Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam maafkan. Sebab Baginda pengasih. Pemaaf!” saya berceloteh.

“Lepas tu?” anak saya seperti tidak ingat langsung cerita yang pernah dikisahkan sebelum ini.

“Kalau Rasulullah hukum, memang Da’thur patut dihukum. Tetapi apabila Rasulullah maafkan sebab baginda gunakan kuasa kasih sayang, berlakulah magic. Musuh bertukar jadi kawan!” saya menyudahkan rumusan.

وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ۚ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ

 Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. [Fussilat 41: 34]

Jika Da’thur dihukum, musuh mati, kawan tidak bertambah.

Jika Da’thur dimaafkan, musuh ‘mati’ kawan bertambah.

Itulah kuasa memaafkan. Sesuatu yang hanya boleh berlaku dengan adanya sifat kasih sayang. Keupayaan untuk membalas kejahatan dengan kebaikan. Manusia sendiri pun ramai yang bertaubat apabila kejahatan demi kejahatan yang dilakukannya, akhirnya mereka tersedar yang Allah masih membalas kejahatan mereka, dengan KEBAIKAN!

Anak saya termenung.

Perbualan kami terhenti.

Sama seperti kursus-kursus motivasi yang saya jalankan, menilai keberkesanan bukan melalui tangisan. Apa yang lebih utama adalah mendidik nilai yang betul, dan melaluinya persoalan jadi jelas, dan jalan menemukan jawapan terbuka luas.

Persoalan kehidupan.

Di akhir zaman, di era fitnah Dajjal ini, AGAMA mesti dicerakinkan kepada ritual amali, dan konseptual nilai di dalam diri.

PESAN ABAH:

  1. Kasih sayang adalah manifestasi sifat RAHMAN dan RAHIM Allah yang paling kerap diulang kerana Allah SWT mahu Diri-Nya lebih dikenali dan diingati oleh para hamba sebagai Tuhan yang Mengasihi, lebih daripada Menghukum dan Membinasa.
  2. Kaedah penceritaan amat berguna lagi berkesan dalam menerangkan konsep-konsep yang rumit kepada pelbagai lapisan sasaran, terutamanya kanak-kanak.
  3. Sampaikan cerita dengan menggunakan ayat yang pendek-pendek, berselang seli antara kita yang menyampaikan, dengan sasaran yang mendengar.
  4. Kisah-kisah seperti Raja Midas adalah alegori yang diceritakan untuk menyampaikan mesej nilai. Ibu bapa perlu membaca cerita ini secara tersurat lagi tersirat.
  5. Ibu bapa yang bersungguh-sungguh mahu mendidik anak-anak secara ini, perlu meluangkan masa membaca kembali kisah-kisah rakyat, koleksi Aesop, juga kisah-kisah yang terdapat di dalam rujukan Islam terutamanya al-Quran dan al-Sunnah untuk memperbanyakkan modal bercerita.
  6. Dari semasa ke semasa, proses ini memerlukan ibu bapa untuk bersabar memperuntukkan masa, secara yang tidak formal, untuk melaksanakan projek ini.
  7. Adakalanya, proses bercerita ini menimbulkan rasa kekok sama ada kepada ibu bapa, mahu pun anak-anak. Rasa kekok itu perlu diatasi bukan dengan memberhentikan perbualan, tetapi meneruskannya dengan melawan rasa tidak selesa yang hinggap di dalam fikiran dan perasaan. Sekali lagi, komunikasi yang efektif adalah fondisi terbesar proses pendidikan.

ABAH.MY

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.