Pendidikan: Antara KMSS dan SMITA

(null)

Saya bertugas di #KMSSEDUMY dan anak saya bersekolah di #SMITAPERAK . Saya tidak dapat lari daripada membandingkan kedua-dua sekolah yang saya sayangi ini.

Dari sudut kelebihan, saya gembira dengan SMITA yang menjadikan lima bulan pertama ini hampir sifar akademik, sebaliknya diisi dengan pelbagai aktiviti outdoor, dan pembelajaran tertumpu kepada bahasa Inggeris dan Arab, critical thinking dan hafazan sahaja. Ia membantu untuk RESET pelajarnya daripada dunia ‘moden’ terutamanya komitmen kepada gajet yang telah menyebabkan learning difficulties kesan perubahan otak selama 12 tahun duduk di rumah. Saya boleh nampak dengan jelas kesan positifnya kepada anak.

Walaupun SMITA masih setahun jagung, ia semakin menonjol dengan pencapaian-pencapaian yang menunjukkan kebolehan berbahasa, seperti pidato. Ini sangat penting kerana penggunaan peranti berskrin seringkas televisyen, hinggalah kepada komputer dan tablet, menyebabkan kanak-kanak mengalami kesukaran menghubungkan perkataan bagi membina makna-makna yang lebih besar. Justeru proses membaca, membuat esei dan berucap (memberi tazkirah) menjadi aktiviti yang penuh penyeksaan. Singgah sekejap-sekejap di SMITA, sesiapa sahaja akan terus dapat mengesan yang ramai pelajar di sana manis mulut, rajin menyapa, dan proaktif dalam memulakan perbualan. Mereka bersungguh mengamalkan 3S iaitu Salam, Senyum dan Sapa.

Namun proses pembelajaran SMITA belum bermula secara rasmi. Saya tidak mempunyai maklumat tentang pendekatan yang dipakai dalam pembelajaran di sana dan saya mendoakan yang positif-positif sahaja. Keberadaan SMITA di tengah sawah bendang tentu sahaja menjadi kelebihan besar yang saya syukuri untuk anak sendiri, dan saya cemburu untuk anak-anak murid kami di KMSS yang masih di blok bangunan kedai. Tetapi keberadaannya di tengah bendang juga menjadi cabaran. Anak saya terkena racun serangga ‘Charlie’ hingga luka-luka kakinya, dan dia tidak tahu ia merupakan kesan serangga tersebut. Beliau beranggapan ia hanya gatal biasa sebab setahu dia, kawannya yang terkena serangan serangga tersebut lukanya sampai bernanah-nanah. Sedangkan luka beliau biasa-biasa sahaja. Nampaknya, selain saya membantu anak dengan pengetahuan dan skil kepimpinan, Ummi perlu melatih anak kami dengan asas perubatan untuk self diagnosis yang mudah.

Di KMSS, saya rasa sangat gembira dengan transformasi kurikulum yang sudah mula menampakkan kesan positifnya. Ia mungkin tidak disedari oleh pelajar, namun kami sedang reconstruct otak mereka agar mereka mendapat kembali keupayaan berfikir dan memahami, agar ada sinar untuk mereka menjadi Ulul Albāb. Masalah-masalah menakutkan yang saya temui semua berprogram di sekolah-sekolah cemerlang, saya kaji punca-puncanya, malah saya keluarkan modal sendiri untuk menyertai program pensijilan perguruan di Kanada untuk memeriksa ilmu pengetahuan saya tentang pendidikan, khususnya berkait dengan interaksi Islam dengan WHAT (kurikulum), WHO (kognitif murid), HOW (pedagogi guru), WHERE (falsafah dan konsep pendidikan) dan WHERE (jenis sekolah).

Semuanya saya tumpahkan dengan sepenuh jiwa dan raga untuk merombak KMSS dan memulakan 2015 dengan ‘brand new school’ yang segar bugar.

Bahagian ini adalah bahagian yang saya cemburu kerana saya tidak / belum dapat memberikannya kepada anak sendiri. Namun sudah tentulah, KMSS yang masih berada di bangunan kedai, menyebabkan saya sesak dada. Kalau boleh saya mahu menjerit-menjerit meminta bantuan, berilah kami rezeki agar bangunan baru kampus tetap sekolah boleh bermula esok dan Bandar Baru Salak Tinggi Business Park dengan padang di tengah bangunan terbabit, terus menjadi kampus kami. Tetapi saya akur jeritan itu berharga jutaan ringgit. Maka, apa yang termampu sekolah usahakan pada masa ini ialah ada petang-petang dalam setiap minggu, pelajar dibawa outing ke padang dan taman yang berdekatan, biar pun sekadar menumpang kemudahan orang lain.

Sejujurnya, apabila berfikir tentang pendidikan, saya rasa saya ada 94 orang anak. Seorang di SMITA, dua orang di sebuah sekolah di Bangi, seorang lagi di sebuah tadika di Bandar Seri Putra dan 90 orang lagi di KMSS. Setiap saat saya memikirkannya dan kini saya sedang menderita untuk menyiapkan tesis sarjana saya di bidang sejarah, yang memerlukan saya berhenti berfikir tentang sekolah dan pendidikan.

Rumit sungguh keadaan semasa ini.

ABAH.MY

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *