Ibu Bapa dan Guru Saling Hormat Menghormati

ptc

“Abah, cikgu suruh bawa batang pisang dengan kentang esok. Nak guna untuk art and craft” kata anak, sebaik sahaja masuk ke kereta.

Tersirap darah abah. Sudahlah penat bekerja sepanjang hari. Anak masuk kereta, terus minta hajat yang bukan-bukan. Dekat mana hendak dicari batang pisang di tengah ibu kota? Cikgu tidak berfikirkah?

Baru sahaja minggu lepas cikgu minta anak beli kad manila dan watercolor segera sebab esoknya anak hendak belajar di sekolah.

Kenapa hendak esok, minta hari ini? Tidak bolehkah diberi sedikit masa, membeli barang-barang keperluan sekolah anak di hujung minggu? Duit itu satu bab, kepenatan untuk ke kedai senja-senja atau malam buta, ini tidak masuk akal!

Jika dilayan kemarahan itu, ayah dan ibu akan merungut di depan anak. Dihamburkan kata-kata yang memburuk-burukkan sekolah dan mengutuk ‘pendek akal’ guru.

Sejauh manakah sikap memburuk-burukkan guru dan sekolah menjadi kebiasaan kita?

Saya sendiri perlu berdepan dengan peperangan dalaman ini. Sesekali timbul rasa tidak puas hati dengan cara sekolah mengatur proses belajar dan pembelajaran anak-anak. Rasa tidak puas hati ini menjadi lebih mudah diungkap dengan kata-kata yang menjatuhkan air muka guru dan institusi sekolah di hadapan anak-anak, oleh ibu bapa yang berpendidikan tinggi.

“Ini mesti cikgu gen-y! Akal pendek” kita membuat rumusan.

Tidak semestinya rumusan itu tidak benar. Mungkin betul. Mungkin selalu.

Artikel ini bukan hendak berpendapat tentang betul atau tidak betulnya sekolah dan guru.

Sebaliknya, artikel ini ingin mengajak ibu bapa untuk memperbaiki sikap kita terhadap guru dan sekolah di hadapan anak-anak.

parentsteachers

Perbuatan mengajar anak-anak untuk tidak menghormati guru dan sekolah adalah perbuatan yang lose-lose. Ia tidak menyebabkan anak lebih menghormati ibu bapa. Ia juga memburukkan lagi persepsi anak-anak kepada guru dan sekolah mereka. Perbuatan ini lebih berisiko apabila ia berlaku kepada anak-anak di sekolah menengah. Anak yang meningkat remaja dengan tahap kefahaman yang lebih tinggi, akan memproses moral yang dikemukakan oleh ibu bapa pada menjatuhkan air muka guru dan institusi sekolah, kepada kesimpulan-kesimpulan yang lebih buruk.

Rasa tidak puas hati dengan guru, marah dengan sekolah, usahakanlah supaya ia disalur melalui saluran yang lebih mencapai objektif. Suarakan ia dalam siri-siri pertemuan dengan pihak sekolah, melalui PIBG (PTA), menghantar emel maklum balas kepada pihak sekolah, malah bertemu secara bersemuka dengan guru.

Hakikatnya kita saling memerlukan.

Guru juga wajib mendidik anak-anak supaya menghormati ibu bapa. Banyak rasa tidak puas hati anak murid tentang ibu bapa mereka yang diluahkan kepada guru, tetapi guru mesti mengekalkan rasa hormat anak-anak kepada ibu bapa mereka. Membawa perspektif yang mungkin anak murid terlepas pandangan, menyerahkan kekurangan ibu bapa kepada Allah dalam doa, menegur mereka dengan dakwah bi al-hāl yang berhikmah, namun tidak sama sekali menjadikan rasa tidak hormat kepada ibu bapa sebagai pilihan.

Ibu bapa yang memburuk-burukkan sekolah dan guru di hadapan anak-anak mereka, hakikatnya menjatuhkan maruah diri mereka sendiri. Jika buruk guru dan ibu bapa, hakikatnya ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah yang buruk untuk anak-anak mereka, tanpa sesiapa memaksa. Mengapakah kita ibu bapa menghantar anak ke sekolah yang buruk? Di mana tanggungjawab kita untuk memberi pendidikan yang baik kepada anak-anak?

“Bagi sini buku PTC. Bagi abah tulis pesanan kepada cikgu” kata abah.

Petang itu guru membalas mesej abah di dalam buku komunikasi anak-anak bahawa bahan-bahan itu sebenarnya diperlukan minggu hadapan.

“Kenapa kamu cakap hari itu kamu hendak malam itu juga?” tanya abah.

“Sebab kawan-kawan cakap mereka semua nak beli malam itu” jawab si anak.

Rupa-rupanya adalah salah komunikasi.

Besar nasihat Allah di dalam surah al-Hujurāt:

“… periksalah terlebih dahulu, agar jangan nanti kamu menimpakan hukuman ke atas satu golongan dalam keadaan jahil terhadap apa yang sebenarnya, lalu jadilah kamu atas apa yang kamu lakukan itu, penuh sesalan

Ibu bapa dan guru, bekerjasamalah. Ketepikan semua perasaan negatif, marah, gantikan dengan rasa hormat menghormati, bertukar pandangan, demi kebaikan anak dan anak murid.

Jangan biarkan Syaitan menggagalkan impian kita bersama.

Itu lebih hampir dengan taqwa.

ABAH.MY

 

Leave a Reply to hanita Cancel reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.