Hentikan Penggunaan Media Sosial Anak-anak di Bawah Umur

facebookmadness

Jika berbohong itu dipegang secara serius sebagai satu kesalahan dan dosa, ia sudah cukup untuk menjadi alasan mengapa anak-anak kita tidak sepatutnya mempunyai akaun Facebook.

How do I report a child under the age of 13?

Facebook requires everyone to be at least 13 years old before they can create an account (in some jurisdictions, this age limit may be higher). Creating an account with false info is a violation of our terms. This includes accounts registered on the behalf of someone under 13.

If your underage child created an account on Facebook, you can show them how to delete their account.

If you’d like to report an account belonging to someone under 13, please fill out this form. Note that we’ll promptly delete the account of any child under the age of 13 that’s reported to us through this form. [baca selanjutnya di sini]

Di negara seperti UK, Facebook merupakan media sosial tertinggi mencatatkan jumlah kanak-kanak melanggar had umur mereka dengan kadar 52% bagi umur antara 8-16 tahun. Ia diikuti oleh WhatsApp (40%), BBM (24%), SnapChat (11%) dan Ask.fm (8%). pada usia 10 tahun, 59% kanak-kanak telah pun menggunakan media sosial. [sumber: knowthenet.org.uk]

Bagaimana anak kita boleh ada akaun Facebook di usia sekolah rendah? Mungkin anak kita membuat akaun berkenaan sendiri, dengan berbohong tentang tarikh lahirnya. Tetapi dalam konteks Malaysia, atau sekurang-kurangnya bagi diri saya, kesalahan saya letakkan di atas bahu saya sendiri.

Saya yang membuat akaun Facebook untuk anak saya. Saya berbohong tentang tarikh lahirnya. Pesalahnya adalah saya, si bapa.

Apa yang saya fikir semasa saya buatkan akaun Facebook anak?

  1. Saya sendiri sedang rancak menggunakan Facebook. Lebih ramai, lebih meriah. Mengapa tidak anak saya turut serta?
  2. Saya mahu melengkapkan profil diri, agar jaringan saya meliputi isteri dan anak-anak, kemudian seisi keluarga.
  3. Semua kawan anak saya ada akaun Facebook, apabila anak saya tiada akaun Facebook, dia ketinggalan. Pergi ke sekolah dalam keadaan terpinga-pinga kerana terlepas ‘gosip’ sesama rakan kelasnya, seawal sekolah rendah.
  4. Cikgu beri tugasan melalui Facebook. Menggunakan Facebook atau media sosial lain untuk buat kerja sekolah, ia justified, malah sudah jatuh wajib barangkali!
  5. Anak saya guna Facebook untuk sesekali main game di atas talian. Ia adalah reward untuknya.

Kali pertama saya tersentak dengan anak saya menggunakan Facebook ialah apabila saya secara tidak sengaja (anak saya lupa log out) terbaca di akaun Facebook beliau, seorang remaja yang lebih dewasa (abang, atau sepupu) yang ada pertalian dengan salah seorang rakannya, memuat naik gambar lucah bersama ayat-ayat kurang ajar seperti saling cabar mencabar.

Mula-mula saya mahu bertindak pantas mencegah kemungkaran! Saya mahu padam dan tegur mereka. Tetapi kemudiannya saya rasa ia tidak sihat untuk hubungan anak saya bersama rakan-rakannya. Maka apa yang saya buat ialah saya sekat (block) remaja berkenaan melalui akaun anak saya agar beliau, gambar yang beliau pos, dan carutannya tersorok daripada anak saya. Namun saya masih boleh memerhati, bagaimana reaksi kawan-kawan yang lain.

Mereka marah-marah, tetapi tiada siapa yang tahu bagaimana hendak menyelesaikan kejutan berkenaan, pada usia 12 tahun! Termasuk yang kemudiannya mendapat 5A di dalam UPSR.

Lanjutan kejadian tersebut, saya duduk bersama anak dan berdialog mengenainya. Jika beliau nampak gambar lucah tersebut apa yang beliau buat? Anak saya kata beliau akan memadamnya. Saya tanya, bagaimana hendak memadam sesuatu di akaun orang lain? Dia diam.

“Adakah kamu rasa kawan-kawan kamu yang lain, mereka menundukkan pandangan dan bertindak menjauhkan diri daripada gambar lucah tersebut, atau mereka melihat dan menghayatinya?” saya bertanya lagi.

Anak saya menggelengkan kepala. Dia tidak tahu.

Dan ketika itu anak saya menerima kenyataan saya bahawa ini merupakan sebab utama mengapa saya tidak membenarkan beliau menggunakan akaun Facebook pada usia 12 tahun. Dan anak saya mungkin sudah lupa bahawa bapanya yang sebenarnya menyediakan akaun itu untuknya setahun dua yang lalu!

Kita pun sama-sama tahu, bagaimana kanak-kanak di bawah umur 13 tahun mengerumuni halaman media sosial seperti Instagram sebagai contoh, untuk pos foto dan mengumpul like daripada rakan-rakan. Mereka menggunakan pelbagai hashtag untuk menyebar luas foto yang dipos ke dalam data Instagram.

“Ala, relaks la bro. Itu pun nak kecoh!”

So what?

Mungkin ini reaksi biasa yang timbul apabila isu ini dibangkitkan. Reaksi yang menganggap had umur tidak penting. Ketahuilah, ia AMAT PENTING. Sekurang-kurangnya adalah dengan alasan berikut:

  1. MAKLUMAT PERIBADI ANAK KITA DALAM RISIKO. Anak-anak kita menyertai komuniti awam dengan hashtag mereka. Lokasi dan pelbagai lagi maklumat peribadi, terdedah kepada manusia syaitan di luar sana.
  2. KANAK-KANAK DI BAWAH UMUR 13 TAHUN BELUM SEMPURNA UPAYA FIKIR. Kepintaran anak kita menggunakan gajet, bukan bukti minda mereka juga sudah canggih untuk membuat keputusan-keputusan berkaitan etika. Kognitif mereka belum cukup untuk merumus ethical thinking, bagi menilai buruk dan baik. Kanak-kanak yang menggunakan media sosial pada usia muda, lebih cepat mengutip kosa kata cela dalam bahasa mereka. Mereka tidak alert sepenuhnya semasa menggunakan perkataan-perkataan lucah dan mencarut, sama ada di dalam bahasa Melayu, Cina, mahu pun Inggeris, yang kebanyakannya adalah terikut-ikut sahaja. Bahasa Inggerisnya ke longkang, tetapi F*** word beliau tidak lekang malam dan siang.
  3. ANAK-ANAK MENGHADAPI MASALAH TIDUR (INSOMNIA) pada usia yang sangat muda.
  4. PENGGUNAAN INSTAGRAM DAN FACEBOOK MENYUBURKAN KARAKTER NARSIS. Anak-anak kecil ini menayangkan bajunya, telefon pintar belian bapanya, cincinnya, kasutnya, dan menunggu like  dan pujian kawan-kawannya. Dewasa yang bagaimanakah bakal anak yang dikasihi ini menjadi? Me, me, me dan me?
  5. BERBOHONG ITU KEJI, BERDOSA DAN SALAH. Perlu huraikan lagi?

instagrammadness

Saya menyeru ibu bapa, hentikanlah anak-anak daripada menggunakan media sosial. Cara yang terbaik adalah dengan tidak memulakannya, bagi yang belum berbuat demikian. Bagi yang anak-anak sudah pun berada di media sosial, bincangkan dengan anak-anak kita mengapa kita belum izinkan mereka memiliki akaun Facebook. Juga Twitter, Instagram dan Whatsapp. Jangan jemu menerangkannya. Jangan penat mengulanginya.

Tutup akaun yang sudah terlajak dibuat.

Dan guru-guru, hentikan perbincangan, memberi kerja sekolah, membuat halaqah online dengan murid-murid bawah umur, hatta untuk bincang al-Quran, al-Sunnah atau apa sahaja. Dan jika anda masih beralasan, shame on you!

Media sosial semasa, terutamanya di kalangan pengguna Malaysia, penuh kecelakaan. Kasihanilah anak kita!

ABAH.MY

  1. Setuju. Saya tiadakan langsung talian internet dirumah, tiada smartphone utk anak, malah tiada juga akaun media sosial. Hanya saya dan suami punyai data plan mobile di telefon sendiri. Jarang sekali beri mereka telefon untuk main atau suka suka.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.