Menyediakan Anak-anak yang Mudah Dididik

muridbaik-anakbaik

Saya memakai dua topi. Ada hari saya pakai topi guru. Ada hari saya pakai topi ABAH.

Hari ini saya pakai topi ABAH. Topi orang yang akan berdiri di hadapan Allah, untuk dihisab oleh-Nya tentang dirinya sebagai ketua keluarga. Sama ada Allah akan hisab kerajaan, menteri pendidikan, pegawai pendidikan daerah, pengetua, guru dan warden, yang pasti Allah akan hisab para ABAH. Adakah mereka telah melunaskan tanggungjawab sebagai ABAH, membimbing emak a.k.a isteri, dan anak-anak.

25_74

Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa. [al-Furqān 25: 74]

Untuk anak-anak menjadi manusia yang baik di sisi Allah, anak-anak itu memerlukan didikan dan pendidikan. Didikan di rumah oleh ibu bapanya, dan pendidikan, mungkin oleh ibu bapa, juga dengan bantuan sekolah. Didikan di rumah dengan pendidikan di sekolah, mesti bersinergi dan selari kerana dua-dua itu hakikatnya satu. Ia adalah satu proses pembentukan. Satu dibuat di rumah, satu dibuat di sekolah.

Sebagai abah, kita tidak boleh menyerahkan proses pembentukan anak bulat-bulat kepada sekolah. Sebagai abah, apa yang kita boleh dan perlu buat ialah berusaha menjadikan anak kita, anak yang mudah belajar dan diajar di sekolah. Anak yang mudah belajar dan mudah diajar itu biasanya datang ke sekolah dengan kualiti-kualiti baik yang dia bawa dari rumah.

KUALITI FIZIKAL

Anak-anak boleh belajar dengan lebih baik di sekolah jika mereka hadir dalam keadaan bertenaga. Selalunya yang berguna itu adalah sarapan pagi. Kali terakhir anak makan ialah mungkin sebelum atau selepas Maghrib malam sebelumnya. Maka jika anak tidak bersarapan, dia perlu menunggu 14 jam untuk makan snek pada jam 10 pagi.

Pelajar yang tidak bersarapan lebih muram, kurang tumpuan, tidak bertenaga untuk aktiviti pembelajarannya [www.aboutkidshealth.ca]. Ketika tiada anak ayam dan anak burung keluar sarang tanpa makanan, anak-anak ibu bapa profesional yang sibuk bekerja, tanpa belas kasihan dibiarkan ke sekolah tanpa bersarapan, dengan tiada rasa bersalah.

KUALITI MENTAL

Kemampuan berfikir tidak terjadi sekelip mata. Jika rosak, pembetulannya juga tidak sekelip mata. Pendidikan kita banyak memberi fokus kepada pembelajaran berorientasikan short term memory, dan adanya unsur permission to forget hingga menyebabkan pembelajaran sepanjang sekolah rendah mungkin tidak memupuk pemikiran aktif yang kritis lagi kreatif. Biar pun mendapat 5A di dalam UPSR, boleh sahaja terjadi, murid itu belum terangsang pemikirannya.

Rata-rata, murid sekolah rendah tinggal bersama ibu bapa. Bukan di asrama. Apa yang abah dan emak boleh buat ialah membantu anak menjadi manusia berfikir. Tidak perlu apa-apa strategi rumit, jauh sekali berbelanja mahal. Apa yang boleh dan perlu dilakukan ialah berbual-bual dengan anak, menyoal pendapatnya, memintanya menilai pendapat kita, pendek kata wujud komunikasi, dan komunikasi itu efektif. Ada soalan, ada jawapan, dijahit oleh proses ingin tahu dan berfikir.

Mendidik anak-anak yang pro berfikir sangat menyeronokkan. Tidak mahu berfikir adalah jauh lebih menyulitkan seorang guru, berbanding tidak tahu jawapan malah tidak tahu berfikir. Mahu berfikir itu adalah satu sikap, yang perlu datang dari rumah, untuk menyambut ilmu pengetahuan di sekolah.

Ibu bapa yang menyediakan anak untuk gembira belajar di sekolah adalah ibu bapa yang menyediakan anaknya sebagai manusia yang suka berfikir.

KUALITI PERASAAN (EMOSIONAL)

Jika akal fikiran itu ada kembar, maka kembarnya adalah emosi.

Adakah anak kita seorang budak atau remaja yang gembira dan bahagia? Kegembiraan yang menjadikannya semasa di sekolah tidak sabar hendak pulang ke rumah untuk menyampaikan kegembiraan di sekolah ke rumah. Kegembiraan yang menjadikannya semasa di rumah, tidak sabar hendak ke sekolah untuk menyambung kegembiraan di rumah ke sekolah.

Anak yang gembira itu adalah anak yang disayangi.

Anak yang disayangi bukan anak yang tidak pernah dimarah. Anak yang disayangi bukan anak yang tidak pernah dirotan atau didenda. Tetapi anak yang disayangi ialah anak yang memahami kasih sayang ibu bapanya, dimarahi dan dirotan dalam keadaan dia tahu salahnya di mana, mengakui kesilapan berkenaan dan menerima denda serta hukuman sebagai sesuatu yang baik untuknya.

Anak yang disayangi itu apabila dimarah, dia dimarahi dengan perkataan yang mendidik. Bukan perkataan yang menghina, merobek harga diri dan mencabul kemanusiaannya. Biasanya anak itu tidak dilabel.

“Kamu tahu tak perbuatan berbohong itu salah? Abah sudah beritahu dan mahu beritahu sekali lagi bahawa berbohong itu permulaan kepada kesalahan-kesalahan lain. Sikap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri!” adalah lebih berkesan dan masih mengekalkan rasa kasih sayang berbanding dengan ungkapan segera ibu bapa, “kamu penipu!”, “kamu pembohong!” hatta soalan “kamu nak jadi munafiq ke?”

Jika bergaduh suami isteri, jangan sampai memangsakan anak-anak. Jika bergaduh saudara-mara, jangan sampai memutuskan silaturahmi anak-anak dengan sepupu sepapat mereka.

Tidak ada remaja yang buat perangai tanpa sebab. Apabila pelajar membuat salah laku di sekolah, selalunya mereka berada di dalam satu daripada dua kategori. Sama ada mereka kepala, atau pengikut. Kelompok pengikut biasanya agak lemah membuat keputusan dan perlu diperkukuhkan. Pendidik di sekolah boleh berusaha mengukuhkan latihan free willchoose to be good dan inner speech mereka. Manakala kelompok kepala, selalunya mereka bertindak mencetus masalah sebagai melepaskan amarah.

Jalan Muhammad 8 - Akhlaq.005
Adlerian Approach in Conducting Misbehaviour

Situasi sebegini amat mencabar.

Pendidik akan berusaha memujuk pesalah laku untuk menukar tindak tanduknya sebagai ekspresi diri, kepada pengungkapan yang lebih positif, terutamanya dalam bentuk perkataan dan luahan hati. Pendidik akan menganalisis kemusykilan minda dan perasaan mereka, menyusunnya kembali agar hilang kekeliruan dan keserabutan. Jika masalah di rumah menjadi sandaran gangguan perasaan mereka, pendidik akan berusaha menanam keyakinan kepada pelajar untuk lebih positif, agar apa sahaja yang berlaku di rumah, ia ditempuh dengan jiwa yang baik, ‘memaafkan’, sabar dan redha malah ada keazaman untuk membantu ibu bapa yang tidak mustahil, memerlukan bantuan anak-anak.

Dan jika ibu bapa juga sama-sama berusaha menyihatkan kondisi keluarga serta hubungan suami isteri juga terhadap anak-anak, usaha ini Insha-Allah akan lebih lancar.

Bukan sahaja ibu bapa yang memerlukan anak-anak sebagai penyejuk hati, anak-anak juga memerlukan ibu bapa yang menyejukkan amarah mereka.

KUALITI SPIRITUAL

Apabila Luqman memulakan nasihat beliau kepada anaknya, “jangan kamu sekutukan Allah” [Q31: 13], syirik itu tidak semestinya hanya pada sang anak menyembah berhala atau sujud ke busut atau tokoh taghut penyesat manusia. Tidak mensyirikkan Allah adalah intipati paling besar dalam spiritual seorang anak, pada menjadikan si anak memilih untuk baik, kerana Allah. Bukan kerana mata ibu bapa yang memerhati, atau peraturan sekolah yang mengepung mereka.

Anak-anak perlu dipupuk memilih untuk jadi baik, dan bukan sekadar kelihatan baik. Memilih untuk jadi baik banyak dipengaruhi bukan oleh apa yang diajar, tetapi bagaimana ia diajar. Anak-anak dipupuk dengan kebolehan membuat keputusan, menentukan pilihan, dan melakukannya dengan nilai yang Allah tentukan. Yakni berdasarkan apa yang Allah nilaikan sebagai baik, dan apa yang Allah nilaikan sebagai buruk.

Jangan syirikkan Allah pada sifat kepura-puraan, tiadanya keikhlasan, mengikat amal semata-sama dengan peraturan dan undang-undang, sebagai hasil pupuk didik paling awal dan utama, oleh ibu bapa kepada anak-anak yang mereka lahirkan ke dunia ini.

PESANAN AL-JAHIZ

Di dalam Kitāb al-Mu’allimīn karya Abū ʿUthman ʿAmr ibn Baḥr al-Kinānī al-Baṣrī atau lebih dikenali sebagai al-Jāḥiẓ (776–868), beliau memberikan pembelaan kepada guru-guru sekolah mengatasi kelompok pendidik yang lain, iaitu satu bentuk penghargaan yang tidak dominan di zamannya. Malah al-Jahiz meletakkan guru di tempat tertinggi, mengungkap mereka sebagai golongan yang berilmu pengetahuan, kuat berusaha, sangat mencintai tugas mereka, dan turut secara tulus berduka apabila anak murid yang didik gagal mencapai progres yang sepatutnya.

Justeru, al-Jahiz mengingatkan ibu bapa supaya tidak menyalahkan guru apabila anak mereka lemah di sekolah. Sebaliknya mereka sepatutnya meneliti keupayaan fikiran anak mereka sendiri.

[Amr ibn Bahr al-Basri al-Jahiz, Kitab al-Muallimin, in Kitaban li-l-Jahiz: Kitab al-Muallimin wa Kitab fi l-radd ala al-mushabbiha [Two essays by al-Jahiz: “On Schoolmasters” and “Refutation of Anthropomorphists”], annotated, with an introductory study, and ed. Ibrahim Geries (Ibrahim Jiryis), 1st ed. (Tel Aviv: Department of Arabic Language and Literature, Tel Aviv University [also Akka: Matbaat alSuruji], 1980), 57–87. 11 Ib]

Saya memakai topi ABAH.

Sumbangan terbesar ABAH kepada sekolah dan pendidikan ialah menghantar anak-anak yang mudah dididik kepada guru dan sekolah.

Pendidikan bermula dari rumah.

25_75

“Mereka (pemimpin keluarga) itu semuanya akan dibalas dengan mendapat tempat yang tinggi di Syurga disebabkan kesabaran mereka, dan mereka pula akan menerima penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya” [al-Furqān 25: 75]

ABAH.MY

7 comments

  1. Benar, ustaz. Pendidikan yang baik, bermula daripada rumah. Ibubapa adalah pendidik pertama dan utama untuk anak-anak. Apa yang ibubapa lakukan, cara dan fikir akan memberi kesan kepada diri anak-anak. Guru-guru di sekolahnya berfungsi sebagai pelengkap pendidikan anak-anak.

    Berdasarkan pemerhatian, anak-anak yang cemerlang di sekolah mempunyai ibubapa yang menitik beratkan pendidikan anak-anak mereka. Murid yang selalu bermasalah dalam pembelajaran biasanya datang daripada ibubapa yang mengabaikan tanggungjawab mendidik anak-anak.

    Ibubapa prihatin pembentuk anak cemerlang dalam pelajaran dan kehidupan.

  2. Ya, Pendidikan bermula dari rumah … Semasa di sekolah, ia menjadi tanggungjawab guru 100%. Guru palsu sahaja yg menafikannya.

  3. Itu pendidikan moral, adab, ugama dsbnya. Tetapi untuk pendidikan akademik dan ko kurikulum adalah tanggungjawab guru 100%. Hanya guru yg tidak amanah atau yg makan gaji buta yg menidakkanya.

  4. di Malaysia kini, boleh kata 70% guru tidak bertanggungjawab, menipu Dan curi tulang serta “rasuah”.

    Sebagai contoh: Seorang budak yg berdarjah 4 telah berjaya mewakili sekolah dalam sukan sepaktakraw. Budak ini juga berbakat sebagai pelari pecut, badminton dan bolasepak. Guru2 amat bangga dgnnya. Tetapi budak ini masih buta huruf dan buta nombor, dan tiada seorang guru pun ambil tahu.

    Pada suatu hari, bapa saudaranya yg berkunjung kerumahnya dalam waktu yg singkat telah berjaya menjdikannya celik huruf dan nombor sambil faham konsep sifir dan berjaya menghafal sifir 4.

    Bapa saudara pun pergi kesekolah untuk bertanya kepada guru ttg anak saudaranya itu. Guru itu mengatakan bahawa budak tsb adalah murid yg hiperaktif tetapi berfikiran lembab.

    Adakah budak yg berbakat besar dalam bidang sukan dan telah mewakili sekolah seawal berumut 10 tahun adalah seorang budak yg bodoh?

    Hanya guru yg telah “makan gaji buta” sahaja yg berkata begitu
    Jika guru itu tak mampu mengajar muridnya dan dia sendiri menyedari kelemahannya itu tetapi tidak berhenti menjadi guru Dan tidak pula Cuba memperbaikinya, maka GURU ITU TELAH MAKAN DUIT TASUAH

  5. Setuju dengan pendapat saudara. Ramai ibubapa menyerahkan bulat-bulat tanggungjawab mendidik anak-anak mereka pada para guru. Bila anak menghadapi masalah disiplin maka guru-guru yang dipersalahkan sedangkan didikan awal itu bermula dari rumah dan seawal hari pertama anak tersebut dilahirkan. Tingkah laku anak-anak juga adalah cerminan kepada peribadi ibubapa itu sendiri.

  6. saya suka dengan pendekatan memakai 2 topi yang mana merupakan pendekatan lateral thinking – edward de bono. Jazakallah Abah kembalikan ingatan saya kepada lateral thinking dalam mendidik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *