Fadhilat Masuk Pertandingan

pertandingan

“Huh, esok Imad akan masuk pertandingan azan. Takut pula rasanya!” kata Imad.

“Tak apa. Buat yang terbaik. Hari itu bukankah abi dah tunjukkan cara-cara azan. Ada bayati, ada nahwan, Imad ‘belasah’ sahaja” saya menjawab.

“Kalau sudah takut, kenapa Imad nak masuk pertandingan?” kakak mencelah.

“Itulah tujuan masuk pertandingan, kakak. Untuk lawan rasa takut. Selain pahala jadi muazzin, apa yang lebih penting ialah pengalaman beraksi depan orang ramai tu. Kalau mahu berjaya, kita tidak boleh malu-malu” saya mengomel.

“Eh, bukankah malu itu sebahagian daripada iman?” Imad memeningkan perbincangan.

Bakat dia.

“Malu itu ialah malu buat jahat. Malu buat maksiat. Bukannya malu buat baik. Ada ke patut kita: eh, malulah nak sembahyang! Kenapa pula nak malu solat. Solat ajelah!” saya menjelaskan lagi.

Imad dan Naurah ketawa.

“Kalau abi masa sekolah dulu tidak masuk pertandingan banyak-banyak, abi tidaklah jadi abi sekarang. Takut-takut. Segan-segan. Tiada pengaruh, tak boleh nak pengaruh orang lain buat baik. Orang lain tak apa lagi, ini tak ada pengaruh kepada keluarga sendiri. Nak pengaruh Imad dan Naurah berkelakuan baik pun susah. Nanti bila kita berhujah, kena herdik dengan orang, terus menikus tak boleh berdiri mempertahankan pendapat. Macam mana nak jadi khalifah?” saya pok pek sambil memandu kereta ke sekolah.

Anak-anak bercuti hari ini dan semalam, kerana sekolah mereka sedang mengadakan peperiksaan SPPIM untuk murid tahun 6. Maka yang adik-adik dicutikan selama dua hari.

Tidak mudah untuk meyakinkan anak-anak, agar mereka ada keyakinan untuk ke hadapan. Tetapi mereka tetap perlu ke hadapan. Berbakat tetapi enggan ke hadapan kerana mahu mengelak daripada public judgement, adalah simptom yang tidak sihat berkenaan karakter anak-anak. Mereka mungkin selalu diperlekeh, diremeh, atau bakat mereka tidak dihargai. Ibu bapa perlu berusaha membantu anak keluar daripada sifat anti sosial sebegitu.

“Tapi Imad hairanlah, abi dan ummi kan dah tua, tetapi kenapa nampak macam orang muda?” tiba-tiba Imad menukar tajuk.

Dia banyak berkhayal.

“Badan gemuk, kepala botak, janggut dah beruban ni, muda lagi ke Imad?” saya bertanya.

“Oh ye ke. Hehe!” Imad ketawa.

Kereta pun sudah tiba di sekolah. Sedikit perbualan sebelum mereka kebosanan duduk di bilik saya sepanjang hari di sekolah nanti.

ABAH.MY

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.