Anak-anak kita (Gambar Hiasan)
Jika kita berkahwin sekitar umur pertengahan 20’an dan rezekinya dikurniakan cahaya mata terus, maka anak-anak kita akan menempuh usia akil baligh dan remaja (‘adolescence age’) semasa umur kita sekitar 40 tahun. Semasa berumur 40 tahun ini, para ABAH dan ibu, mereka sendiri juga sedang bertarung dengan ‘mid life crisis’ yang menjadikan kita seorang ABAH yang sangat sensitif dan mudah tersinggung.
Pada masa yang sama, si anak pula pada umur awal belasan tahun biasanya jadi ‘heartless’, asyik nak mencabar orang dan buat kita terasa. “Sampai hati kau buat ABAH macam ini, ya?” adalah monolog-monolog yang sering melintasi jiwa ABAH di usia 40.
Pada usia itu, penting sekali ABAH bertenang dan sentiasa memaafkan anak-anak. Maafkan mereka, supaya kita terus ‘connected’ dengan mereka.
Pujuk hati kita dengan meminta ampun kepada Allah andai kita sudah terlupa kepada kelakuan kita kepada ABAH sendiri semasa berusia remaja. Menginsafi kekurangan diri, moga datang kekuatan untuk lebih memahami mengapa anak yang di suatu ketika gelak tawa dan kelip matanya semua berisi kemanisan, hari ini seperti mencari-cari sebab untuk sentiasa menyakitkan hatimu. Usia 40 itu adalah usia menginsafi erti sebuah kehidupan.
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.
Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata:
“Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)”. [Al-Ahqāf 46: 15]
BUAT ANAK,
Dan anak-anak pula, oleh kerana sudah mengerti bahasa dan boleh memahami nasihat ini, janganlah jadikan usia remaja itu sebagai alasan untuk berperangai buruk. Perangai remaja ini memang boleh menyebabkan ABAH ‘terbunuh’ dengan serangan jantung. Tidak ada sesiapa yang akan cakap kamu bunuh ABAH kamu, tapi kamu akan dihantui rasa bersalah apabila kamu sedar satu hari nanti yang kamu sangat jengkel (‘jerk‘) sampai ABAH kamu mati merajuk hati.
Satu hari nanti…
Kau kan tahu nilainya cintaku…
ABAH sentiasa mendoakan kebaikan buatmu, nak.
ABAH.MY