Banyak hadith Nabi s.a.w yang meletakkan usia 7 tahun sebagai umur ibu bapa menyuruh anak bersolat. Usaha itu perlu berterusan dan jika di usia 10 tahun si anak mengingkarinya maka anak itu boleh dipukul dengan pukulan yang munasabah dengan maksud mendisiplinkan dia.
Ulama ada juga berbahas adakah usia 7 dan 10 itu di awal masuknya umur berkenaan atau di hujungnya. Perbahasan ini lebih kepada mencari jalan untuk menafsirkan nas dengan tepat, kerana dalam amali, perbezaannya tidaklah begitu ketara. Oh ya, umur berkenaan pula semestinya merujuk kepada umur kiraaan Qamariah (kalendar hijriah) kerana itulah sistem masa yang terpakai di zaman hadith berkenaan terbit.
Had umur ini menarik kerana ia juga selari dengan kajian-kajian saintifik terhadap keupayaan intelektual kanak-kanak. Ada korelasi yang unik kerana usia 7 juga adalah usia anak bersedia untuk memulakan perjalanan akademik mereka.
Ada pun solat di usia yang lebih muda seperti 3-5 tahun, kita perlu berhati-hati.
Sudah tentu, di usia ini bagus untuk anak biasa melihat dan meniru ibu bapa bersolat. Tetapi ini bukanlah umur untuk solat dikurikulumkan sebagai satu pembelajaran berstruktur, apatah lagi bersama penilaian seragam dengan gred dan pemarkahan.
Ada juga riwayat seperti di dalam Sunan Abi Dawud yang mengatakan bahawa apabila si anak sudah boleh membezakan di antara tangan kanan dengan tangan kiri, maka perintahkanlah dia agar bersolat. Hadith ini merujuk kepada usia mumayyiz dan ia boleh jadi lebih awal berbanding usia 7 tahun.
Tetapi hadith ini lemah. Dalam pada lemahnya hadith tersebut, ia menyendiri dalam mengemukakan ukuran umur mumayyiz berbanding hadith-hadith lebih kuat yang menggariskan umur 7 tahun.
PERANAN IBU BAPA
Memperkenalkan solat kepada kanak-kanak kecil, biarlah terjadi oleh ibu bapa kepada anak mereka sendiri, dan bukannya oleh pihak pra sekolah atau pusat jagaan kanak-kanak secara bersilibus.
Apabila sekolah atau tadika yang mahu memperkenalkan solat kepada kanak-kanak kecil, sekolah membuat perjanjian dengan ibu bapa sebagai pelanggan dan ia mewujudkan ‘expectation‘ daripada pihak ibu bapa. Mahu tidak mahu sekolah perlu mencari jalan untuk si anak kecil bersolat dan terbukalah kebarangkalian mendesak, menekan, memaksa dan mungkin juga mendenda serta menghukum andai gagal. Ia lebih berisiko apabila guru di pusat jagaan kanak-kanak atau tadika berkenaan tidak terlatih dan tidak sensitif terhadap regulasi emosi kanak-kanak di bawah jagaannya.
Ia bukan sahaja tidak disuruh agama, malah mewujudkan rasa gelisah (anxiety) dan menyumbang kepada sulitnya si anak belajar. Ia memberi ‘reverse impact‘ semata-mata kerana kita enggan mematuhi saranan umur yang sesuai oleh Syariatullah (nas) dan Sunnatullah (sains).
Pendidikan pra sekolah perlu memperkayakan aktiviti dan pendekatan dengan memanfaatkan pelbagai kajian sama ada kajian saintifik di dalam sains pendidikan, atau pun kajian terhadap nas secara yang lebih mendalam, agar tidak kekurangan modal dan model lalu terperangkap di dalam rumusan ‘yang penting, sembahyang!’
Saranan ini adalah demi menitik beratkan solat sebagai amalan sepanjang hayat, bukan untuk mengkesampingkan kepentingannya, naudhubillah.
Hasrizal
Oulu, Finland