Debat di Hujung Minggu


Walaupun balik rumah dua hari sahaja, macam-macam tajuk yang diperdebatkan antara saya dan isteri dengan anak kami.  Saya harap dengan soal jawab itu, kami menunaikan sebahagian tanggungjawab mendidiknya biar pun dia sudah duduk di asrama.

Dan keduanya, dia akan membawa fikiran yang lebih sihat dan matang di belakang kami.

Kami berdebat tentang ‘keharusan’ membaca buku konspirasi. Kata anak saya, buku konspirasi itu orang yang pendidikannya di peringkat PhD sahaja yang selamat baca. Remaja macam dia boleh meletup kalau baca. Saya kata saya sendiri tidak berapa suka buku konspirasi. Tetapi bukanlah sebab bukunya terlalu hebat. Sejak sekolah lagi saya sudah pernah membaca buku konspirasi. Zaman itu kata lagu Hotel California kalau dimainkan secara terbalik akan kedengaran suara Syaitan menyuruh kita membunuh diri. Ia konspirasi Freemason.

Saya tanya dia bukankah dia pun pernah baca buku konspirasi? Tak gila pun. Jawab beliau, “Yop tak apalah. Dah dapat bimbingan Ustaz Hasrizal!”

Nak tersembur air dari mulut saya.

“Apa benda yang Ustaz Hasrizal bimbing sampai jadi lain sangat tu?” saya tanya dia.
Dia ketawa.

Tak ada apa-apa benda pun. Cuma suruh berfikir sahaja. Bacalah apa pun, jangan baca dan percaya membuta tuli. Jadi, apa yang Ustaz Hasrizal kononnya telah ajar kepada beliau, senang sahaja untuk beliau pesankan kepada kawan-kawan yang lain. Fikir, jangan percaya membuta tuli!

BELASAH JUNIOR

Kami juga berdebat tentang keharusan membelasah junior kalau junior buat salah dan maksiat di sekolah.

“Nak buat macam mana. Dah cakap banyak kali pun buat juga” anak saya cuba mempertahankannya.

“Yop ada perancangan nak belasah sesiapa ke?” saya mahukan kepastian.

“Tak adalah, Abi. Tapi manalah tahu kalau-kalau senior nak buat. Denda pelajar sujud 30 minit mengadap kiblat ke contohnya!” kisah beliau.

Saya ketawa.

Dia pun ketawa.

“Apa-apa salah laku, ia hasil fikiran dan nafsu serta Syaitan. Syaitan kena halau. Caranya, jangan bertindak semasa marah. Fikiran, kena dibetulkan. Nafsu, kena ditarbiah. Kalau belasah, yang dibelasah dan yang membelasah jadi lebih baik ke? Kalau sujud 30 minit tu, no comment. Buat lambat je!” saya meneruskan debat.

“Dah tu, nakal sangat, takkan nak biarkan aje?” beliau masih berkeras.

“Pelajar sekolah Yop lebih jahat daripada Abu Lahab ke?” saya tanya.

Dia tersengih.

“Ala, susahlah cakap dengan Abi. Debat asyik menang je!” dia ketawa.

‘Bengkek’ dengan hujah saya.

Apabila berlaku salah laku, spontan sahaja, walaupun hafal 30 juzuk, kita memang rasa mahu belasah orang… atas nama agama. Tetapi kena ingat, Allah jadikan tubuh badan dan nyawa manusia ini suci. Jangan sewenang-wenangnya nak sentuh.

Pelajar kita kena seawal mungkin diajar menghormati dharuriyyat yang lima itu. Jangan sekali-kali pukul sesuka hati. Itu haram. Sama haramnya macam haram makan babi, haram riba. Masakan guna maksiat untuk banteras maksiat.

Jangan anggap nak pukul anak orang sebab nak pertahankan agama, benda tu jadi halal.

“Habis tu, rotan?” tanyanya lagi.

“Rotan, kena betul cara, dan dilakukan oleh yang memegang amanah. Misalnya cikgu, atau ketua pelajar yang diamanahkan. Itu pun wajib mematuhi batas-batas agama dan undang-undang. Kalau panggil ke bilik dan terajang seorang demi seorang, itu samseng. Kalau semua buat undang-undang sendiri, sekolah Yop jadi sekolah jahiliah. Sekolah rimba. Bukan sekolah tahfiz. Bukan sekolah Islam.” saya melangsaikan pusingan akhir debat.

“Tak adalah macam tu” kata anak saya.

“Sajalah abi ingatkan.” saya menambah.

“Abi datanglah ceramah di sekolah Yop!” kata anak saya.

“Orang dah ceramah panjang-panjang kat dia, sebab nak suruh dia ceramah kat sekolahlah!” saya membidas.

Teringat pula janji dengan Pak Din nak ziarah sekolah dan ceramah.

Berasap.

ABAH.MY

  1. Salam Ustaz,

    Anak perempuan saya sekarang berusia 2 tahun. Saya bercadang nak hantar ke pra sekolah pada usia 4 tahun. Pada pandangan Ustaz, tadika apa yang terbaik untuk anak saya pada usia itu. Saya tertarik dengan konsep Khalifah Method. Mohon pandangan ustaz.

    1. Saya cadangkan Tadika Dzul Iman, jika ada yang berdekatan. Bukan kerana saya bandingkan ia dengan yang lain atau ia yang terbaik, tetapi ia tadika yang baik. Anak saya empat orang, anak keempat di tadika Dzul Iman dan saya gembira dengan sistem dan komitmen tadika Dzul Iman

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.