“Saya berterima kasih atas pembentangan panelis hari ini. Soalan saya kepada Ustaz Hasrizal, apakah saranan ustaz supaya saya boleh kongsikan benda-benda yang saya belajar hari ini, kepada anak-anak. Ada tips tertentu?” tanya seorang peserta.
Seminar Permata al-Quran anjuran Akademi Sinergi Ikhlas dan Karangkraf sudah sampai ke penghujung program. Saya bersama dengan Ustaz Fawwaz Fadzil duduk di pentas untuk sesi soal jawab bersama. Saya membentang kupasan Surah al-Fatihah. Ustaz Mohd Rusydi al-Jauhari pula bersama Ayat al-Kursi. Manakala Ustaz Fawwaz Fadzil mengupas tentang surah al-Ikhlas.
Saya tidak mempunyai apa-apa tips.
Sekarang atau sebelumnya.
Apa yang ada hanyalah beberapa percubaan, kadangkala menjadi, kadangkala tidak menjadi.
Selalunya, yang menjadi itu adalah yang dilakukan secara spontan, tidak dirancang-rancang.
Namanya ialah perbualan.
Jika kita membiasakan diri berbual dengan anak-anak, perbualan dan keselesaan melakukannya membolehkan banyak perkara dapat dikongsi dan disampaikan. Berbual dengan anak-anak bukanlah sesuatu yang mudah. Tambah-tambah untuk ABAH seperti saya. Selain anak balik sekolah dengan bau masam yang menghilangkan mood bersembang, di usia sebegini, kepala orang lelaki selalunya berat dan sarat dengan pelbagai topik.
Berbual dengan anak-anak adalah perkara terakhir yang seorang bapa mahu lakukan.
Tetapi jika diikut keselesaan diri, kita akan ditimpa penyesalan yang sukar mencari jalan u-turn. Apabila anak kekok bersembang dengan kita sebagaimana kita juga kekok bersembang dengan mereka, anak-anak menggantikan teman sembang mereka daripada kita kepada orang lain yang lebih mesra dengan mereka.
Tanpa mood bersembang, mesej-mesej yang ingin bapa sampaikan, hanya dapat disampaikan dalam bentuk leteran, bukan lagi perkongsian yang lebih positif dan mesra.
Lawanlah rasa berat mulut dan berat hati untuk berbual itu.
Shuaib boleh berbual dengan anak perempuannya, Ya’qub juga begitu. Demikian juga perbualan Ibrahim dengan anaknya Ismail, berbual dan bertukar pendapat adalah sunnah tarbiatul awlad zaman berzaman.
Bapa perlu menyediakan mood yang selesa berbual dengan anak, demikian juga ibu, supaya menjelang perkahwinan mereka, apakah nasihat seorang ibu dan bapa kepada anak mereka tentang adab sopan, kaifiyat, dan larangan ‘malam pertama’, boleh disampaikan dengan baik.
ABAH
Bandar Seri Putra