Asas Pembentukan Pandangan Hidup Islam

“Aqidah yang berfungsi, adalah aqidah yang pertamanya, ia membentuk pandangan hidup. Melihat kehidupan dengan pandangan hidup Islam” saya memulakan pengisian.

Sedikit demi sedikit, ibu bapa hadir dan mengambil tempat.

Pagi ini adalah mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru di Khalifah Model School. Seperti biasa, sebelum mesyuarat bermula, ada sesi pengisian. Kali ini, saya berasa syukur kerana menerima pelawaan Khalifah Model School untuk mengisi slot berkenaan dengan tajuk “Apa Erti Saya Menjadi Muslim – Asas Pembentukan Pandangan Hidup Islam”.

Saya mengajak hadirin melihat kepada realiti.

Setiap bayi lahir dengan potensi yang sama. Fitrah.

Guru pertama mereka, iaitu ibu dan bapa, berperanan sama ada mengembangkan fitrah itu atau menghalakannya ke arah yang lain.

Ibu bapa Yahudi berjaya meyahudikan anak-anak mereka.

Ibu bapa Nasrani berjaya menasranikan anak-anak mereka.

Ibu bapa Majusi berjaya memajusikan anak-anak mereka.

Ibu bapa Muslim bagaimana?

Asas pertama pada berperanan ‘memuslimkan’ anak-anak kita adalah dengan diri kita sendiri beraqidah dengan Aqidah Islam, dan seterusnya melihat kehidupan dengan pandangan hidup Islam.

DUA LELAKI MENANGIS

Pada tahun 2005, seorang lelaki menangis kerana mendapat khabar berita meninggal dunianya seorang ‘lelaki tua’ di Afrika Selatan bernama Ahmed Deedat. Pada sekitar suasana yang sama, seorang lagi lelaki menangis kerana menerima berita kekalahan Felix kepada Mawi di dalam Akademi Fantasia Musim ke-3! Kedua-dua mereka melakukan perkara yang sama iaitu menangis. Namun mengapa subjek yang ditangisi itu amat berbeza?

Ayuh kita renungkan.

Lelaki pertama, kepercayaannya adalah Aqidah Islam. Dengan Aqidah Islam, dia mentakrifkan dirinya sebagai hamba dan khalifah kepada Allah, manakala Allah pula adalah Tuhan yang berada di keutamaan tertinggi hidupnya (Ilah). Ia membentuk pandangan hidup buat lelaki itu. Kehidupan ini dilihat sebagai kehambaan (Ibadah) dirinya kepada Allah. Justeru apa-apa yang menyumbang kepada perhambaan dirinya kepada Allah adalah berguna, bernilai lagi berharga dan ini pula membentuk sistem nilai di dalam hidupnya.

Siapakah Ahmed Deedat?

Seorang Ulama’ yang sangat banyak berusaha untuk memahamkan manusia kepada ajaran Islam. Justeru Ahmed Deedat menurut sistem nilai lelaki pertama ini adalah seseorang yang sangat berharga. Lelaki itu membeli buku-buku dan kaset ceramahnya, menonton rakaman dvd di Youtube dan mengikuti perkembangan Ahmed Deedat. Apabila beliau meninggal dunia, ia adalah kehilangan yang amat besar tentang sesuatu yang sangat berharga. Justeru memang patut kematiannya disambut dengan kesedihan dan air mata.

Lelaki kedua, berdasarkan kad pengenalan dan dokumen-dokumen rasmi yang lain, aqidahnya adalah Aqidah Islam. Dia juga menjawab dengan betul, soalan-soalan tentang Rukun Iman semasa peperiksaan. Namun Aqidahnya itu tidak membentuk pandangan hidup. Dia memandang kehidupan bukan dengan pandangan hidup Islam. Habis, apakah kehidupan ini di sisi pandang lelaki tersebut? Tanpa Islam, kehidupan ini adalah secara solid dilihat sebagai La’ibun wa Lahwun (permainan dan keseronokan). Apa-apa yang menyumbang kepada keseronokan, dilihat bernilai dan berharga, patut digalak dan diberi sokongan. Asas kepada sistem nilai lelaki itu.

Pain and pleasure.

Utilitarianism?

Siapakah Felix Agus?

Seorang artis baru yang suara serta persembahannya cukup memberikan rasa seronok dan gembira. Justeru Felix menurut sistem nilai lelaki kedua ini adalah seorang yang sangat berharga. Lelaki kedua ini sanggup membelanjakan RM500 untuk sms AFUNDI, AFUNDI, AFUNDI… dengan harapan Felix menjuarai Akademi Fantasia. Tiba-tiba Felix kalah kepada Mawi. Sesungguhnya ia adalah kehilangan yang amat besar tentang sesuatu yang sangat berharga. Justeru memang patut kekalahan Felix disambung dengan kesedihan dan air mata.

Demikianlah contohnya.

Khalifah Model School bersama Metod Khalifah sangat menekankan soal pandangan hidup Islam. Pelbagai cara diamalkan di dalam pendekatan pendidikan agar Aqidah sebagai kepercayaan berfungsi membentuk pandangan hidup tenaga pengajar dan murid-murid agar mengikut acuan Islam. Salah satu sebab penting mengapa saya memilih sekolah ini adalah kerana pandangan hidup yang didokong.

Islamic Weltanschauung.

Sudah tentu asas paling utama kepada pandangan hidup Islam ini ialah pada Tauhid antara Syariatullah dan Sunnatullah. Kefahaman dan penghayatan kepada hal ini menjadi senjata paling ampuh pada menolak musuh terbesar pandangan hidup Islam semasa iaitu Sekularisma.

Sekularisma memisahkan di antara Syariatullah dan Sunnatullah.

Sekularisma memisahkan di antara Agama dan Sains.

Sekularisma memisahkan di antara doa dan tawakkal dengan usaha.

Sekularisma memisahkan di antara integriti dan akhlak dengan kompetensi.

Sekularisma memisahkan di antara urusan Dunia dengan Akhirat.

Semuanya itu akan mempengaruhi cara berfikir, cara hidup, cara bekerja, cara mendidik, cara meletakkan perancangan dan harapan terhadap anak-anak, kerana Sekularisma merosakkan intipati Tauhid yang menjadi paksi carakerja Allah (sibghatullah).

PARENTS – TEACHERS ASSOCIATION (PTA)

Persatuan Ibu Bapa dan Guru pula adalah wadah yang terbaik, untuk saya mengambil peluang menyumbang kepada kelompok sasaran terpenting iaitu IBU BAPA.

image

Profesor Muhammad al-Mahdi, pengasas Khalifah Institute dan Khalifah Method

Profesor Muhammad al-Mahdi seperti yang saya ketahui melalui tulisan dan pemikiran yang ditinggalkannya, mengharapkan agar Khalifah Model School bergerak sebagai sebuah sekolah komuniti, menggalakkan voluntarism agar ia berkembang sebagai sebuah sekolah milik Ummah. Saya yang tidak berpeluang bertemu dengan Prof semasa hayatnya, memberikan komitmen untuk menjayakan harapan itu, bukanlah semata-mata kerana ia visi dan misi Profesor Muhammad al-Mahdi, namun itu jugalah keyakinan dan kepercayaan saya sebagai seorang Muslim.

Tanpa segan silu, setelah gagal memberikan komitmen pada tahun 2010, bagi tahun 2011 ini saya menawarkan diri untuk menyertai jawatankuasa PIBG sekolah. Harapannya cuma satu, merealisasikan keyakinan saya bahawa pendidikan anak-anak adalah suatu JIHAD.

Ia juga menjadi salah satu cara untuk saya menyampaikan rasa penghargaan dan terima kasih kepada guru-guru Khalifah Model School serta Trustees yang mendukung amanah yang besar lagi mulia ini.

Tahniah kepada kesemua 17 anggota baru PIBG Khalifah Model School bagi tahun 2011.

Tahniah kepada semua ibu bapa juga.

Ayuh berfikir mulai sekarang tentang projek Sekolah Menengah anak-anak kita.

ABAH.MY

  1. Assalamualaikum Ustaz,

    Apa khabar? masih ingat saya lagi? Ustaz ada perancangan untuk meluaskan pendidikan di Selatan Tanah Air? saya menanti kehadirannya di sini.

    Terima kasih.

Leave a Reply to Ahmad Sabqi Ismail Cancel reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.