“Saif dan Naurah sudah dapat keputusan peperiksaan?” saya bertanya.
“Ada yang sudah, ada yang belum” jawab Saif.
“Naurah dapat 90 markah untuk Bahasa Arab” jawab Naurah pula.
“Yop dapat 91!” Saif menyampuk dari belakang.
Naurah menoleh dan memberi muka sengetnya kepada Saif.
“Alhamdulillah” saya bertahmid sambil membelok stering kereta masuk ke lebuhraya untuk menghantar mereka ke sekolah.
PELUANG YANG ADA
Saya sudah menempuh empat hari yang sangat penuh.
Malah kelmarin saya tidur selewat jam 4 pagi dan kemudian segera memandu ke UIAM untuk program bersama kakitangannya. Berceramah selama 6 jam sehingga jam 5 petang, kemudian satu lagi sesi ceramah dua jam hingga pukul 10:30 malam, saya hanya tiba di rumah pada jam 12:45 tengah malam, selepas setengah jam tertidur di stesyen minyak. Keletihan.
Pagi ini badan terasa sungguh letih.
Pembantu saya menawarkan bantuan untuk menghantarkan anak-anak saya ke sekolah. Namun saya menolak. Saya perlu gagahkan diri untuk menghantar mereka ke sekolah kerana mahu mengambil peluang berbual selama setengah jam, sebelum sebentar lagi saya terbang ke Labuan, berprogram sehingga Khamis.
“So, Yop dengan Naurah gembira tak dengan keputusan peperiksaan kali ini?” saya bertanya.
“Happy! Tapi Yop punya hafazan dapat 84. Kalau dapat 85, boleh dapat A” kata Saif.
“Akak belum tengok markah hafazan akak” ujar Naurah.
“Kadang-kadang 1 markah tak penting. Kadang-kadang 1 markah boleh buat kita menyesal” saya membuat ayat penyata, tanpa intonasi.
Mereka mengangguk.
BERTANYA
“Di kelas, Yop dan Naurah selalu tanya soalan tak?” saya menyambung perbualan.
“Ada la sikit-sikit” jawab Saif.
“Naurah suka tanya soalan” jelas Naurah pula.
“Masa belajar, kalau kita jawab soalan yang cikgu tanya, kita boleh jadi pandai. Tapi kalau kita tanya soalan kepada cikgu, kita boleh jadi genius. Jawapan penting. Tapi soalan laaaagi penting!” saya berkongsi.
“Kalau kita jawab soalan, jawapan salah, tak apa, kan Abi?” tanya Naurah.
“Tak mengapa. Markah kurang. Tapi berani bertambah. Kalau berani menjawab, banyaklah peluang jadi pandai. Kalau berani tanya soalan, lagi banyak peluang jadi genius!” saya bercerita.
Saya tahu, anak-anak saya seperti anak-anak lain, lebih biasa dengan jawapan berbanding soalan. Orientasi pembelajaran biasa ialah sering meminta murid-murid menjawab soalan. Tidak banyak ruang digunakan untuk melatih anak murid bertanya soalan. Keupayaan bertanya dan kemudian bertanyakan soalan-soalan bijak, adalah hikmah yang besar dalam sebuah proses pendidikan.
Sebab itu, anak-anak lebih cepat mendaftarkan kepentingan jawapan ke minda mereka berbanding kepentingan soalan.
“Masa sekolah, tiada soalan bodoh. Tapi kalau malas tanya soalan, mungkin jadi bodoh” saya menyambung kata.
ANAK MAKIN DEWASA
Saif termenung. Dia sudah tidak memberikan respon marah apabila mendengar perkataan bodoh, seperti zaman kanak-kanak kecilnya dahulu.
Kereta meluncur laju.
Motivasi Pagi oleh Ustaz Hanafiah di Radio IKIM pun baru selesai. Nilai sebuah kehidupan, topik yang menarik untuk direnungkan.
Selepas membelok ke kiri usai melalui roundabout pertama Bangi, kereta kami menyertai kesesakan jalanraya yang memang sudah dijangka.
“Eh, Naurah nampak tupai. Tengok tu!” anak perempuan saya menuding ke arah pokok.
Seekor tupai liar ligat berlari melompat-lompat di atas dahan pohon mangga.
“Lajunya dia berlari!” kata Saif.
“Apa peribahasa Melayu berkaitan dengan tupai?” saya menguji mereka. Sambil melawan rasa mengantuk.
“Apa ye?” Saif menggaru kepala yang tidak gatal.
“Naurah pun tak ingat” kata Naurah.
Kedua-duanya masih asyik memerhatikan tupai berkenaan. Namun telinga mereka rupa-rupanya mendengar soalan saya.
Kanak-kanak.
Sering disalah erti.
Sangka kita mereka tidak peduli.
Walhal, ‘ahli Syurga’ itu memang multi tasking. Mata ke lain, telinga ke lain.
TUPAI LICIK BIJAK
“Pernah dengar tak peribahasa berbunyi sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga?” saya menyoal.
“Tak pernah. Tapi maknanya tupai tu lari-lari kemudian dia jatuh ke tanah, kan?” balas Naurah.
“So, maknanya kita doakan tupai tu jatuhlah ya?” saya sengaja mengelirukan mereka.
“Err… ” Saif terputus idea.
“Kalau doakan benda tak elok untuk orang, itu tak baik. Maksud peribahasa itu ialah, ada orang jahat yang macam tupai. Setiap kali buat jahat, dia lari dan dia terlepas tidak ditangkap. Tapi lama-lama akan kena tangkap juga” saya membuat kesimpulan.
Masjid Hasanah sudah di sisi.
Sekolah sebagai destinasi sudah hampir.
“Tupai jahat ke?” tanya Naurah.
“Naurah rasa?” saya menyoalnya kembali.
“Tupai comel!” katanya.
“Comel, tak semestinya baik” saya membelit kenyataan.
“Tapi tupai baik” Saif mahu menamatkan perbualan. Intonasinya berkesimpulan.
“Kalau tupai curi buah?” saya membelit lagi.
“Abi, dah sampai sekolah!” Saif memberitahu.
Baru mereka tahu, betapa letihnya menjawab soalan! Saya ketawa kecil. Kami berpelukan kerana saya hanya akan berjumpa dengan anak-anak saya pada pagi Khamis, Insya Allah.
Mendidik minda anak-anak dengan Metacognition Learning, amat menarik. Anak-anak diajar supaya berfikir tentang apa yang mereka fikir, menguji apa yang mereka belajar supaya mereka sedar dengan apa yang masuk ke dalam minda dan bagaimana mereka memahaminya.
Ia bukan sahaja membantu mereka lebih ingat apa yang mereka perlu ingat, malah mereka mengingatinya dalam ayat dan kefahaman mereka sendiri, bebas daripada hafalan kaku terhadap fakta yang tidak menambah bijak.
Cuma ibu bapalah yang kena banyak bersabar.
Untuk saya, sudah lama saya tidak berpeluang melakukannya.
Hanya selepas semangat yang disuntik oleh Prof Dr Muhaya Mohd di Seminar Transformasi Ramadan 2.0 tempoh hari, baru saya terasa kembali segar.
Saya adalah bapa kepada ahli-ahli Syurga.
Dan kerana itu rumahtanggaku, syurgaku.
ABAH.MY
“tupai jahat ke?”.. cute nye soalan naurah… 🙂
Bertanya soalan satu cara mendidik yang diamalkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Seandainya kita melihat ayat-ayat al-Quran dan hadis pasti kita dapat melihat soalan-soalan yang dikemukakan oleh Allah ta’ala dan Rasul-Nya sebagai cara untuk mengajak manusia untuk berfikir.
Soalan lebih penting daripada jawapan. Betapa dengan soalan, ada manusia menemui kebenaran. Betapa dengan soalan, manusia menemui idea-idea baru dalam kehidupan. 🙂