Batu Berlaga Air

“Marah itu kalah!” petik seorang peserta program KEM HIJRI suatu ketika dahulu.

Mungkin beliau terkesan dengan cerita yang saya kongsi semasa program, mengapa kami tidak berjaya dijadikan marah oleh pelbagai kerenah peserta.

Bukan tidak marah.

Degil, berbohong, khianat, biadab. Mustahil sebagai manusia biasa, kami tidak marah.

Tetapi marah itu dipadamkan dengan air.

Sama ada oleh air wudhu’, air mandi, atau jiwa dakwah dan mendidik yang diasuh menghayati kuasa air.

KUASA AIR

“Apa yang kamu boleh zikir dan fikirkan tentang air?” saya melontar soalan kepada peserta di hening pagi.

“Air menjadi sumber kehidupan” jawab salah seorang peserta sebuah kumpulan.

“Itu pandangan akal. Bagaimana pula pandangan hati pada mencari yang tersirat di sebalik yang tersurat?” saya mengusik minda mereka.

Sepi…

Khali tanpa suara.

Ada yang menguis-nguis kaki di gigi kali yang dingin.

Ada juga yang membaling batu ke sungai memecah bisu.

“Air disekat macam mana pun, dia terus memberi. Air contoh ‘erti hidup pada memberi’ yang terbaik!” jawab seorang anak muda.

Memberanikan diri.

Kefahaman tentang Erti Hidup Pada Memberi yang diulang-ulang semasa program semakin jelas di minda anak-anak muda ini apabila mereka menerima kunjungan Khariri al-Hadi, penderma hati yang sudi berkongsi cerita bersama peserta pada hari kedua program. Betapa besarnya makna sebuah kehidupan apabila diri bukan lagi hidup untuk diri sendiri, tetapi pada mengajak orang lain berjaya, selamat dan bahagia bersama.

The more you give yourself to others, the more you will find yourself!” kata Mahatma Gandhi suatu ketika dulu.

“Bagaimana air mampu terus memberi?” saya bertanya lagi.

“Sabar” jawab seorang lagi.

“Sabar macam mana?” saya menambah lagi pahat ke minda mereka.

“Sabar membentuk batu!” tambah seorang lagi.

Benar. Hebat jawapan dia. Tak padan dengan usia.

Batu tidak dibentuk dengan batu. Batu yang menghentak batu hanya akan memercikkan api, dan memecahkan batu. Memecahkan yang dihentak, mungkin juga yang menghentak itu pecah.

Tetapi batu lebih cantik dan berguna apabila ia dibentuk oleh air.

Air adalah juara ke atas batu. Kepala batu, hati batu, batu api, segala benda keras yang dikaitkan dengan batu, kalah dengan air. Malah batu tenggelam kepada air.

“Sekarang fahamkah kalian kenapa kalian gagal menyebabkan kami marah?” saya menyoal.

Mereka tersenyum.

“Batu bukan lawan kepada air!” saya menyudahkan kesimpulan.

“Ayuh kita sarapan!” kami beredar meninggalkan sungai.

“Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan” [al-Baqarah 2: 74]

Bertindaklah sebelum hati manusia hitam dan beku. Sebelum lebih keras dari batu. Yang hanya Neraka mampu meleburkannya. Jangan hantar anak-anak ke Neraka dengan batu kekerasan kita.

ABAH.MY 

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.