Kini sekolah integrasi tumbuh bagai cendawan.
Perkataan integrasi laku dalam pendidikan. Dalam pasaran persekolahan.
Integrasi akan membantu ibu bapa membayangkan anak-anak hanya pergi ke satu sekolah dan di sekolah itu semua sudah ada. Ada akademik, ada ilmu agama. Ada fardhu ain, ada fardhu kifayah. Anak-anak tidak perlu balik rumah di tengah hari, menukar baju, sebelum ke sekolah yang satu lagi. Makan minumnya sudah diuruskan sekolah, tiada keperluan untuk 4 trip bas sekolah, lebih selamat, dan akhirnya mungkin lebih murah.
Sekolah integrasi adalah sekolah yang memudahkan.
Cuma…
Kita mungkin tidak berlaku adil kepada makna integrasi. Integrasi pada kita hanya mengadakan dua benda di dalam satu sekolah, walaupun dua benda itu tidak berinteraksi, tidak berintegrasi. Agama di sisi akademik adalah appended, dan bukannya integrasi.
Kita mahu al-Quran wujud dalam subjek al-Quran sahaja.
Kita tidak berfikir betul-betul, sejauh mana perlunya al-Quran itu turut wujud dalam subjek selain al-Quran.
Al-Quran dalam matematik?
Al-Quran dalam sains?
Al-Quran dalam sejarah?
Al-Quran dalam geografi?
Al-Quran dalam ekonomi dan perakaunan?
Al-Quran dalam bahasa?
Al-Quran dalam seni?
Al-Quran dalam bukan sekadar apa yang diajar, tetapi al-Quran dalam bagaimana pelajaran diajar?
‘Quranik’kah cara guru mengajar?
‘Quranik’kah cara guru mengajar al-Quran itu sendiri?
Tanpa sedar, yang lahir daripada sebuah sekolah integrasi adalah seorang Muslim yang di dalam dirinya masih ada dua. Dua yang menumpang satu tubuh dan minda. Tetapi dua yang tidak berinteraksi, tidak berintegrasi. Agama dan akademiknya tiada kena mengena, kecuali pada ‘akhlaq’ yang mungkin sebenarnya bukan hasil interaksi ilmu agama dan ilmu non agamanya.
Justeru yang lahir daripada sekolah integrasi, masih seorang yang berminda sekular, sama ada dia menjadi dewasa yang berketayap, atau bertali leher.
Jurutera al-Hafiz sekular, sebab kejuruteraannya adalah kejuruteraan non Quranik. Manakala al-hafiznya dia, tidak mempengaruhi kejuruteraannya di peringkat falsafah ilmu dan seterusnya aplikasi.
Soalnya, penting sangatkah semua ini? Penting sangatkah disiasat matematik kita matematik berasaskan pandangan alam Islam, atau main belasah sahaja sebab kita percaya matematik ialah matematik. Tiada pertempuran teori dan ideologi di belakangnya?
“Entah, anak saya ok aje. Apa yang awak bisingkan?” tanya ibu, atau abah.
Saya pun terdiam.
Sekolah integrasi tumbuh bagai cendawan, cendawan yang boleh dimakan, atau cendawan racun yang memudaratkan?
ABAH.MY
Ketika mengajarkan sains, mungkin kita boleh petik ayat-ayat al-Quran yang selari dengan sains dan terapkan dalam pemikiran murid-murid betapa sains itu membuktikan kewujudan Allah ta’ala.
Misalnya, bila ajar tentang buruj (gugusan bintang di langit, sebutkan bahawa dalam al-Quran ada surah al-Buruj. Bila ajar tentang geografi, gunung-ganang, petik ayat al-Quran yang menunjukkan bahawa gunung-ganang itu Allah ta’ala jadikan sebagai pasak di bumi.
Ketika mengajarkan matematik, ajarkan bahawa pengiraan amat penting dalam kehidupan. Misalnya ketika berjual beli. Islam melarang kita bersifat khianat dalam timbangan atau menetapkan pengiraan harga yang tidak betul.
Wallahu a’lam.