Jika belum pernah dilakukan, lakukanlah hari ini.
Oleh kerana ABAH solat Jumaat di lokasi berhampiran pejabat, dan anak pula bersolat Jumaat di lokasi berhampiran sekolah, anak tidak bersolat bersama ABAH. Dan kerana itu, ABAH tidak tahu bagaimana tingkah laku anak semasa bersolat Jumaat bersama kawan-kawannya di masjid.
Tanyalah anak hari ini, “apa khabar anakku sayang hari ini? Khutbah Jumaat hari ini tajuk apa?”
Jika tidak punya banyak masa, langsungkan sahaja pertanyaan, “tadi semasa khutbah Jumaat, kamu dengar, atau tidur atau bersembang dan bermain bersama kawan-kawan?”
Hati kita bercampur aduk perasaannya antara marah dan sedih. Budak-budak bising semasa khutbah Jumaat itu memang perkara biasa. Zaman berzaman. Namun, semakin lama, kebisingan itu makin menjadi-menjadi. Tiada langsung petanda menunjukkan anak-anak itu sedar bahawa mereka sedang berada di masjid, ada khatib di mimbar yang sedang berkhutbah, dan mereka ada keperluan untuk diam, menghormati khutbah Jumaat dan masjid itu sendiri.
Tiada.
Mereka berbual dengan penuh rancak, tendang menendang, ketawa tanpa batasan, dan paling mendukacitakan, dalam keadaan mereka memakai baju sekolah agama. Sekolah yang mengajar mereka beragama.
Kalau yang diam pun, diam sebab asyik melayan telefon. Dan kawan-kawan jadi penonton.
Janganlah dipersalahkan khatib itu khutbahnya tidak sedap dan tidak menarik. Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam tidak meletakkan kualiti khutbah sebagai syarat untuk diam. Khatib ada tanggungjawab untuk mengelokkan penyampaian khutbah dan jemaah pula, termasuk kanak-kanak ada peranan untuk diam dan mendengar khutbah. Para dewasa mesti melakukannya. Kanak-kanak pula perlu dilatih melakukannya.
Kita sayangkan anak-anak ini. Kita tidak mahu menjadikan mereka tidak suka dengan masjid.
Justeru mengherdik mereka bukan solusinya.
Teringat saya semasa bersolat Jumaat di sebuah masjid, muazzin sebelum memberi laluan kepada khatib berkhutbah, menggunakan mikrofon dan menjerit di dala masjid berkenaan, “kanak-kanak yang berada di atas sana, DIAM!!!”
Diam… diam… diam… diam…
Bergema jeritannya memenuhi masjid.
“Jika kamu tidak diam, saya akan laporkan kepada guru besar kamu!” kata muazzin lagi.
Budak-budak sekolah yang mendengar herdikan itu ketawa. Mentertawakan muazzin yang bagi mereka lucu. Ada yang mengajuk echo jeritan diam itu.
Diam… diam… diam… diam…
Semasa yang berkhutbah di sebuah surau Jumaat, saya cuba sedikit ramuan untuk menarik perhatian anak-anak yang bising.
“Anak-anak yang ustaz kasihi. Yang di belakang, di kiri surau, di kanan surau, dan di bawah pokok sana! Jika kita mahu bercakap sesuatu yang penting kepada ibu bapa kita, dan mereka buat bodoh tak layan kita, mereka layan telefon, mereka sembang sesama mereka dan mereka buat macam kita tak wujud, sakit hati tak? Sakit kan? Macam-macam bayangan dalam kepala kita. Nak cekik mereka, nak terjun kereta. Itulah juga perasaan orang lain apabila kita buat begitu. Ustaz di atas mimbar ini ada benda penting yang hendak disampaikan. Jika kamu bising, bukan bukan sahaja melukakan hati ustaz, tetapi juga orang lain yang mahu mendengar. Maka ustaz minta kamu semua berehat, bertenang, berhenti melayan kawan. 15 ke 20 minit sahaja. Jika mengantuk tidurlah. Jangan sampai berdengkur!” saya memulakan khutbah.
Diamlah anak-anak yang hadir itu.
Seketika.
Selepas 10 minit, mereka mula bising semula dan orang tua-tua mula shooh shooh sana sini.
Di Singapura, saya lihat pihak masjid mencantikkan slide tayangan dan murid-murid sekolah nampaknya bertumpu memerhatikan slide. Itu kira-kira 5 tahun yang lalu. Entahlah sekarang, adakah kena masukkan Powtoon dalam slide khutbah Jumaat?
Di negara sebelah benua sejuk sana, anak-anak solat dengan bapa. Maka keberadaan bapa di sebelah, banyak membantu.
Ada banyak solusi.
Oleh pelbagai pihak.
Tetapi yang ingin saya tekankan di sini adalah peranan ibu bapa, khususnya ABAH. Berbincanglah dengan anak secara efektif, bahawa mereka ada tanggungjawab untuk menghormati masjid. Belajar untuk tidak terikut dengan kawan. Cuba diamkan kawan. Jika kawan bising, kekal diam, atau pindah lokasi duduk. Bercakap semasa khutbah jangan sekali-kali.
Berbincang agar faham, supaya semasa mereka bersolat di masjid berhampiran sekolah dan ABAH solat di masjid berhampiran pejabat, anak bawa pesan ABAH di dalam ingatannya.
Entahlah bagaimana Langit memandang masjid-masjid kita di tengah hari Jumaat!
Bantulah kami mendidik anak-anak ini ya Allah.
ABAH.MY