Strategi Menukar Subjek Yang Membosankan Jadi Menyeronokkan

anak-anak-membesar

“Secara peribadi, abi lebih suka subjek Diniyyah dipelajari dalam bahasa Melayu, bukan Arab. Sebabnya, di usia sekolah menengah, subjek Diniyyah itu diperlukan untuk menjadi bekal diri. Mengadap realiti kehidupan yang mencabar. Kalau belajar dalam bahasa Arab, kebarangkaliannya tinggi, subjek itu sekadar dihafal. Paling bagus pun sampai ke tahap faham. Tapi nak kaitkan dengan realiti kehidupan, mungkin susah” saya mengomel di dalam kereta.

Selepas Aidiladha, hari ini, anakanda kami kembali ke asrama.

Selain menghantarnya ke asrama, hari ini juga adalah hari keputusan peperiksaan dan kami para ibu bapa akan bertemu dengan guru kelas bagi mendapatkan laporan kemajuan akademik dan tahfiz anak masing-masing.

Yop risaukan subjek Usuluddin. Katanya susah.

Apabila saya minta penjelasan, susah bertukar kepada bosan. Itu yang sebenarnya. Bukanlah kerana subjek itu tidak menarik, atau guru tidak bagus mengajar, tidak sama sekali. Sebaliknya ia adalah kepada pendekatan yang dipakai.

ANTARA TEACHEAR-CENTERED DAN LEARNER-CENTERED

Apabila pelajar tingkatan 1 belajar Usuluddin di dalam bahasa Arab, berkemungkinan besar setting kelas mereka adalah teacher-centered essentialism, atau pun perennialism. Jika teacher-centered essentialism, ertinya guru mengajar, murid belajar, ikut buku teks, dan perlu habis silibus, sebab jika belajar Aqidah, maka isi kandungan silibus itu adalah kemestian. Baru dinamakan sudah belajar Aqidah. Essential.

Andai kata teacher-centered perennialism, ertinya guru mengajar, murid belajar, tidak guna buku teks, sebaliknya guna kitab turath, di dalam bahasa Arab, mungkin kitab itu berbentuk teks penghuraian, atau matan-matan merangkum rumusan subjek.

Apa yang pasti, kelas teacher-centered sukar untuk mewujudkan perbincangan, menggerakkan critical thinking, jika di usia sekolah menengah. Hatta di universiti pun boleh jadi hafal dan muntahkan kembali, apatah lagi di sekolah.

Di Sekolah Khalifah, kami ubah teacher-centered kepada learner-centered. Dan apabila diubah kepada learner-centered, maka pembelajaran akan mempunyai tidak kurang daripada tiga jenis pembelajaran iaitu:

  1. Active learning: pelajar aktif sebagai pelajar yang belajar di dalam kelas. Aktif itu mungkin dicetuskan oleh game yang bersesuaian, diskusi berkumpulan, simulasi, pembentangan dan yang seumpama dengannya.
  2. Inquiry learning: pelajar mempunyai tahap curiosity yang tinggi terhadap subjek, banyak bertanya soalan, kesan daripada strategi yang diimplementasikan oleh guru di dalam kelas. Guru mendorong pelajar untuk bertanya, tidak semestinya kepada guru, tetapi juga kepada sesama pelajar.
  3. Contextual learning: pelajar akan membawa pembelajaran ke lapangan. Membuat lawatan di luar sekolah, dan menghayati bagaimana realiti subjek yang dipelajari di dalam kehidupan sebenar.

Maka untuk subjek Usuluddin, guru misalnya membawa pelajar melawat hospital, berbual dengan pesakit dan ibu bapa mereka, meneliti hasil perbualan dan mengaitkannya dengan apa yang dipelajari. Misalnya, apabila bapa kepada pesakit kanser kronik berkata, “saya terima semua ini sebagai ujian Allah yang pasti ada hikmahnya. Kamu anak-anak semua, hargailah kesihatan dan kehidupan ini ya. Pakcik doakan.”, maka pelajar perlu mengesan, apakah rukun-rukun Iman yang terkandung di dalam kata-kata pakcik berkenaan. Lihat bagaimana beriman kepada Qadha’ dan Qadar memberi kekuatan kepada realiti kehidupan.

Seterusnya pelajar boleh meneliti kisah-kisah di dalam Sirah, Sejarah, malah kisah-kisah al-Quran, yang ada persamaan dengan kejadian di hospital itu tadi. Pelajar juga boleh berbincang dan membuat perancangan apakah bentuk sokongan yang boleh mereka berikan kepada pesakit dan keluarga pesakit pada masa-masa akan datang. Mereka mungkin boleh membuat leaflet, membentuk kelas sokongan Usuluddin di peringkat sekolah untuk melawat hospital dan pusat pemulihan, serta banyak lagi.

Dengan cara ini, pembelajaran akan jadi seronok dan lebih berpijak di bumi yang nyata. Agama bukan untuk dihafal, tetapi untuk digunakan dalam kehidupan.

Guru boleh kumpulkan kata kunci penting, dan memperkenalkan istilah kata kunci itu di dalam bahasa Arab, sebagai nilai tambah kepada pembelajaran.

Apabila tiba di sekolah, ternyata memang markah anak kami rendah untuk subjek Usuluddin. Mujur lulus. Saya difahamkan oleh guru, bahawa kebanyakan pelajar juga mendapat markah yang rendah. Saya mengambil peluang daripada guru subjek yang menunjukkan contoh soalan yang ditanya di dalam peperiksaan. Apa yang saya dapat simpulkan, kebanyakan soalan adalah berada di peringkat dua tahap pemikiran yang asas iaitu mengingati dan memahami (merujuk kepada Taksonomi Bloom).

taxonomy-bBloom Taxonomy

Untuk pergi ke tingkat pemikiran yang lebih tinggi, agak sukar kerana dibataskan oleh bahasa pengantar iaitu bahasa Arab. Tanpa perbendaharaan kata yang cukup, tidak mungkin pelajar dapat berfikir. Kesannya pelajar boleh jatuh bosan dan hilang fokus.

“Tak apalah Saif. Abi tak kisah dengan markah tu. Yang penting, abi nak tahu, apa strategi Yop untuk perbaiki performance di dalam subjek tersebut?” saya bertanya.

“Hmm… Yop tak tahu macam mana nak buat nota” katanya.

“Semasa abi sekolah dulu, abi ada belajar silibus yang Yop belajar ni. Kami ada kelas 4 Sanawi walaupun abi tak ambil peperiksaannya. Semasa belajar, kami guna pen banyak warna. Ustaz Hamid yang ajar kami dulu wajibkan semua pelajar ada pen banyak warna. Antara kegunaan pen tu ialah, kami tandakan key words di dalam buku teks. Kumpulkan verbs, kemudian kumpulkan nama-nama khas sebagai content utama topik. Jadi bertambahlah vocab dan nampaklah isi pentingnya” saya memberi cadangan.

“Abi datanglah weekend, ajar Yop dan kawan-kawan macam mana” pinta beliau.

“Alamak, yang itu Abi tak berani nak janji. Sesekali boleh. Jauh Yop, sekolah kome ni!” saya menjawab.

Anak kami mengangguk. Faham.

STRATEGI BERTANYA SOALAN

ask

“Begini, abi cadangkan, dalam kelas Yop tanya banyak soalan. Reka soalan. Dalam belajar, soalan lebih penting daripada jawapan.” saya lontarkan idea kepadanya.

“Macam mana? Contoh?” anak saya kabur-kabur kefahamannya.

“Misalnya apabila Yop belajar Nawāqidh al-Īmān (perkara-perkara yang membatalkan iman), Yop tanyalah ustaz atau ustazah, apa bezanya Nawāqidh al-Īmān dengan Nawāqidh al-Wudhu’” saya memberi contoh.

“Hah, apa bezanya?” anak saya curious hendak tahu.

“Tengok, apabila ada soalan, mesti rasa nak tahu jawapan. Baru best. Tapi abi tak nak la jawab sekarang. Yop tanyalah ustaz. Ustaz pun seronok kalau banyak tanya. Abi rasa la” saya ketawa.

Membayangkan betapa tertekannya cikgu andai tidak tahan dengan pertanyaan pelajar.

“Yop tanya, jika ‘ibādah al-asnām (menyembah berhala) itu membatalkan Iman, maka bolehkah kita melawat kuil. Bagaimana mahu pastikan semasa melawat kuil, kita tidak menyembah berhala” saya memanjangkan lagi cadangan.

Isteri saya juga berkongsi pengalamannya semasa mengambil subjek kimia organik di kolej, bagaimana beliau lambakkan soalan demi soalan. Apabila kita banyak bertanya di dalam kelas, nanti kita tidak perlu terlalu banyak mengulangkaji semasa hendak menduduki peperiksaan. Memori kita banyak daripada pengalaman bertanya di kelas itu.

“Nanti kawan-kawan tension!” kata anak saya.

“Haha, Yop bagitahu kawan-kawan, Yop tanya banyak soalan supaya ustaz tidak laju sangat pindah ke topik baru. Jadi, tidaklah banyak sangat bab yang masuk peperiksaan nanti!” saya cadangkan hujah balas.

Kami semua ketawa.

“Apa-apa Yop, subjek yang penting tetap penting. Untuk ubah pendekatan mengajar, Yop tak mampu. Itu abi boleh cadangkan kepada pihak sekolah nanti. Tetapi Yop boleh ubah kelas yang penting tetapi membosankan, melalui cadangan-cadangan abi tadi. So, boleh janji tanya banyak soalan dalam kelas?” saya menepuk bahunya.

Beliau mengangguk.

In-sha-Allah.

Bagi subjek lain, keputusan peperiksaannya baik. Malah silibus tahfiz al-Quran untuk Tingkatan 1, sudah pun beliau selesaikan.

Saya doakan beliau dan rakan-rakannya tenang belajar dan dipermudahkan Allah. Semoga apa yang dipesan berguna untuk membantu beliau belajar.

Sekolah perlu menyemak pendekatan-pendekatan yang dipakai, dan berani membuat pembaharuan. Dahulu kala, murid tiada akses yang banyak kepada sumber ilmu. Mereka bergantung kepada guru. Maka teacher-centered adalah cara belajar yang dapat berfungsi dengan sihat dan mencapai objektif pembelajaran. Di kala ini, pelajar ada banyak akses kepada pelbagai sumber ilmu, mereka berhadapan dengan pelbagai cabaran, malah attention span mereka juga rendah di era digital ini. Maka learner-centered boleh membantu mereka mengatasi kesulitan pembelajaran, terutamanya pada mengambil tanggungjawab belajar ke atas diri mereka sebagai pelajar.

Bukan lagi bagai anak burung yang menjerit-jerit meminta disuap.

ABAH.MY
27 September 2015

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.