Pendidikan Ilmu Alam Ghaib, Bukan Alam Batin

2903

“Tiga minggu kita tidak berjumpa. Banyak perkara baru yang Along belajar?” tanya abah.

“Banyak juga. Nanti kalau dah masuk semester akademik sebenar, lagi banyak belajar” jawab Along.

“Insha-Allah. Abah tengok pembelajaran Along setakat ini pun bagus. Bagi abah, setakat yang abah nampak, Along ni kalau gembira, maka pelajaran baik. Kalau tak gembira, pencapaian pun merosot. Seronok sekolah asrama?” abah bertanya lagi.

“Okay. Alhamdulillah” Along melemparkan senyuman.

Pantas masa berlalu. Terasa masih baru lagi abah mendukung Along. Penuh bangga. Selepas menjadi suami, tiada yang lebih membahagiakan hidup abah daripada menjadi bapa buat pertama kali, apabila Along hadir ke dunia ini. Pasti ibu pun begitu juga.

“Tapi abah, hari tu ustaz ada cerita. Dia kata dulu masa sekolah ini baru buka, ada ustaz yang hebat. Nama dia Ustaz Ali. Dia pernah buka hijab pelajar!” cerita Along.

“Hah, buka hijab? Bukankah sekolah Along semua lelaki. Dan apa hal pula ustaz buka hijab pelajar?” abah terkejut.

Tergamam dengan cerita Along.

“Ishh, abah ni. Bukan hijab yang itu. Maksud Along, ustaz tu bukakan hijab pelajar sampai dia boleh nampak alam ghaib” Along memberi penjelasan.

Hmm…

Abah terdiam.

Setiap hari, cikgu meluangkan masa berjam-jam dengan anak murid. Tidak mudah untuk mengekalkan tumpuan murid kepada apa yang guru ajar. Abah faham, tekanan yang guru hadapi pada ‘modal’ menarik perhatian anak-anak. Abah pun kalau hari-hari sampai 8 jam mengadap anak, boleh jadi abah pun tak tahu nak cerita apa.

Tetapi ini bukan alasan untuk memberi kepada pelajar kisah-kisah supernatural yang seperti itu.

“Along, dalam dunia ini tiada manusia yang lebih hebat berbanding para Rasul, terutamanya Rasul kita, Muhammad sallallahu ‘alayhi wa sallam. Antara Wali Allah dengan Nabi Allah, Nabi lebih tinggi dan tiada wali yang mencapai makam Nabi juga Rasul. Along pernah dengar Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam buka hijab sahabat untuk tunjukkan mereka alam ghaib?” abah menyambung cerita.

Dalam mengubat rindu, abah tidak lupa kepada tanggungjawab membimbing Along, anak yang semakin meningkat dewasa.

Along diam mendengar soalan abah.

“Tak ada,” jawabnya perlahan.

“Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam datang bawa Islam, untuk kita tadbir alam yang zahir ini dengan keimanan kepada perkara-perkara ghaib. Bermula daripada Allah sendiri sebagai Pencipta, Malaikatnya, dosa dan pahala, Syurga dan Neraka. Tetapi manusia tidak perlu masuk ke alam ghaib. Malaikat pun Allah tak izinkan sewenang-wenangnya mengetahui perkara ghaib. Along dah hafal surah al-Jinn, kan?” abah bertanya.

Along mengangguk.

“Kita beriman dengan alam Ghaib. Bukan alam Kebatinan. Dan dua-dua itu bukan urusan kita untuk menjenguk masuk ke dalamnya. Siapa yang dapat membezakan antara benda yang kita nampak itu benda yang benar, atau helah Syaitan menyesatkan anak Adam? Abah tak nafikan, adanya interaksi manusia-manusia soleh dengan alam ghaib. Tetapi ia bukan bahan mainan, jauh sekali untuk dibangga-bangga dan menunjuk-nunjuk. Jangan buka pintu untuk fitnah Dajjal” abah tegaskan lagi.

18_9

“Apakah engkau mengira bahawa kisah Ashab al-Kahf dan gua al-Raqim, yang mereka itu adalah sebahagian daripada tanda kebesaran kami, sebagai sesuatu yang ajaib?” [al-Kahf 18: 9]

Ayat ini, sebahagian daripada intipatinya adalah teguran Allah kepada sikap Yahudi di Yathrib (Madinah) yang berasa bangga apabila mereka tahu apa yang orang lain tidak tahu. Mereka menawarkan utusan Quraisy, al-Nadhr bin al-Haarith dan ‘Uqbah bin Abi Mu’aith, tiga soalan ‘hebat’ yang bukan calang-calang orang tahu. Soalan yang hendak diajukan kepada Muhammad sallallahu ‘alayhi wa sallam di Mekah.

Teguran itu juga perlu diteladani oleh kita, para penceramah, para guru, untuk tidak menggunakan modal cerita-cerita ajaib untuk mengagumkan pendengar.

Tiada yang ajaibnya di dalam Islam ini.

Jika yang ghaib itu berlaku kepada Nabi dan Rasul, ia adalah mukjizat. Untuk menyerlahkan kebenaran risalah yang dibawa.

Jika yang ghaib itu berlaku kepada orang-orang soleh, ia adalah karamah. Untuk memuliakan kedudukan orang soleh itu di dalam masyarakat.

Andai yang ghaib itu berlaku kepada orang-orang jahat dan zalim, ia adalah istidraj. Untuk ‘menyempurnakan’ kejahatan si jahat dan kezaliman si zalim agar apabila Allah menghukum mereka, tiada siapa pun yang masih punya sesuatu untuk mempersoalan hukuman tersebut.

Jikat kita tidak pasti untuk berada di antara kelompok orang soleh dan fasiq, jauhkanlah diri daripada bermain-main dengan keajaiban kerana semua itu mengundang fasad. Tidak sedikit pun membangunkan minda anak-anak. Tidak sedikit pun memberi khidmat kepada objektif tarbiah, pendidikan.

Apabila Ghaibiyyat tidak didasarkan kepada ilmu, beralihlah ia kepada Kebatinan. Hal-hal mistik yang penuh bencana fitnah di dalamnya.

Didiklah anak-anak kita dengan pendidikan yang Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam berikan kepada para sahabat. Agar solat mereka seperti cara sahabat bersolat mencontohi Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam.

“Abah tak suka benda-benda macam ini. Jika ada lagi mana-mana guru bercerita benda-benda pelik sebegitu, Along patut tanya, tetapi dengan sopan, apakah tujuan guru bercerita hal demikian agar pelajar tahu apa yang sepatutnya mereka fikirkan. Boleh, Along?” tanya abah.

Along mengangguk.

Abah peluk Along. Abah balik rumah teruskan perjuangan. Along tinggal di asrama teruskan perjuangan.

Perjuangan Islam.

Perjuangan Iman.

Allah, Malaikat, Kitab, Rasul, Hari Kiamat, Qadha’ dan Qadar.

Bukan hal ehwal kebatinan.

ABAH.MY

  1. Suatu perkongsian yang menarik…semakin besar seorang anak, semakin banyak persediaan untuk para ibubapa dalam menangani pelbagai situasi si anak

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.