‘Homework’: Segi Tiga Cinta dan Lara

10150226647083273

“Abi, kalau kita pergi China, masa bila ada salji?” tanya Imad.

Saya sedang memerhatikan kereta yang meluru, sebelum masuk ke bulatan.

“China berapa jam kalau naik kapal terbang dari Malaysia?” tanya Imad lagi.

Soalan tadi pun belum sempat dijawab.

“Kalau bawa kereta, boleh tak pergi China?” Imad menambah soalan.

Telinga saya sudah merah. Menahan marah. Dulu-dulu, saya rasa soalan anak saya ini ‘cute‘. Saya hashtag soalan beliau sebagai #teoriimad . Tetapi lama kelamaan, soalan yang bertimpa-timpa, tidak peduli masa, dan dalam masa yang sama hanya banyak soalan, tetapi kurang mencari jawapan, saya hilang sabar.

“Hmm… Imad, Abi pun sudah jadi pening dengan soalan Imad. Abi bukan tak bagi Imad tanya soalan. Tetapi Imad sekarang darjah 3, sudah pandai membaca. Kalau kita banyak tanya soalan, itu tandanya kita banyak berfikir. Dan itu bagus. Tetapi kita jangan sekadar banyak berfikir sedangkan kurang belajar. Soalan itu kalau ia suami, isterinya ialah jawapan. Lelaki kalau nak beristeri, kena cari isteri, bukan tunggu isteri dibawa ke pangkuan” saya bersuara, sedikit bernada leteran.

Imad garu kepala.

Kakak hanya ketawa.

“Masa Abi kecil-kecil dahulu, Abi sangat suka membaca. Tetapi arwah atuk bukan orang kaya. Buku tak banyak kat rumah. Jadi, Abi tak ada banyak pilihan. Kalau nak baca, Abi kena baca apa-apa sahaja yang boleh dibaca. Buku atuk yang boring dan Abi tak faham itu pun Abi baca. Malah tulisan dekat botol syampu dan ubat gigi pun Abi baca” saya bercerita.

Imad mendengar. Kakak juga begitu.

“Kamu semua tidak perlu pening kepala macam Abi dulu. Kamu mempunyai seorang bapa yang ada sangat banyak buku. Beribu-ribu di rumah tu. Buku Ummi pun ada banyak. Yang belum adanya ialah, pembaca!” saya mengomel lagi.

Saya kira, sudah sampai masanya, kegemaran anak bertanya soalan, dinaik taraf menjadi kegemaran anak mencari jawapan.

“Abi boleh bagi Imad jawapan. Apa yang susahnya. China di utara. Maka kalau mahu salji, pergilah musim sejuk di bulan Disember atau Januari. Naik kapal terbang ke China, negaranya besar. Kalau terbang ke Beijing, mungkin perjalanannya ialah 6 jam. Macam MH370. Naik kereta ke China itu boleh, tetapi tidaklah 6 jam. Tidak juga 6 hari. Mungkin sebulan, mungkin 6 bulan. See, kan senang dapat jawapan. Tetapi adakah Imad jadi pandai selepas mendapat jawapan Abi?” saya menyoalnya.

Muka anak ketiga kami berkerut.

“Dapat jawapan, tidak menjadikan Imad pandai. Imad akan jadi lebih pandai kalau Imad cari jawapan. Imad kena tahu dari mana Abi tahu jawapan-jawapan tadi tu. Abi dapat daripada pembacaan. Baca buku, baca majalah, baca suratkhabar” saya cuba menerangkan hal ini dengan sebaiknya.

BERKAITAN KERJA SEKOLAH ANAK

Sebab itulah seboleh-bolehnya saya tidak mahu membantu anak saya buat kerja sekolah. Jika mereka ada kerja sekolah, saya ingatkan mereka untuk menyiapkannya. Tetapi saya tidak mahu membantu membuat, jauh sekali membuatnya untuk mereka.

Biar pun soal jawab dan kerja sekolah ini perkara biasa, ia merupakan rutin yang berimpak besar terutamanya kepada pembentukan karakter anak menuju dewasa.

Teringat saya kepada saranan yang dikemukakan oleh Dr. Haim G. Ginott di dalam buku monumental beliau yang bertajuk Between Parent and Child: The Bestselling Classic That Revolutionized Parent-Child Communication.

betweenparentandchild

Menurut Dr. Ginott yang merupakan seorang pakar psikiatri kanak-kanak, semenjak anak di awal persekolahan, sikap ibu bapa terhadap kerja sekolah si anak mestilah dengan tegas bahawa ia adalah tanggungjawab anak bersama guru. Ibu bapa tidak patut mengambil alih kerja tersebut malah dalam banyak keadaan, anak yang memiliki ibu bapa dalam kategori membuat kerja sekolah anak, berisiko menjadikan kerja itu sebagai senjata untuk ‘mendera’, ‘mengugut’, dan mengeksploitasi ibu bapa.

Perlu diketahui, nilai bagi sebuah kerja sekolah itu ialah pengalaman untuk anak-anak berdikari. Untuk mencapainya, ia mestilah disesuaikan dengan tahap pelajar agar mereka boleh melakukannya sendiri bersama bantuan minimum orang lain. Bantuan secara langsung hanya akan menghantar mesej kepada si anak bahawa mereka itu terkontang-kanting tanpa ibu bapa.

Apa yang lebih bermanfaat adalah bantuan secara tidak langsung seperti menyediakan ruang yang ada privasi, meja yang sesuai, buku rujukan dan akses kepada komputer. Bantu juga anak-anak dari segi merancang masa yang sesuai untuk membuat kerja sekolah tersebut.

Kata Dr. Ginott lagi, ada sesetengah anak yang suka andai semasa membuat kerja sekolah, ada orang dewasa berdekatan dengan mereka. Mereka mahu orang dewasa berkenaan mendengar analisis dan kefahaman mereka semasa mereka menyelesaikan masalah di dalam kerja sekolah tersebut. Untuk itu, mungkin boleh diberi peluang anak menggunakan sedikit ruang meja di dapur untuk membuat kerja sekolah di sisi ibu, atau di meja berdekatan bapa di ruang tamu.

Anak-anak meminta bantuan ibu bapa, ia adalah tanda kepercayaan anak kepada ibu bapa. Namun kepercayaan itu mestilah dibalas dengan sesuatu yang baik buat anak. Beri peluang anak itu mengambil risiko tersalah di dalam kerja sekolahnya, tidak mendapat markah yang cemerlang, asalkan markah itu nanti menjelaskan nilai hasil kerja mereka yang sebenarnya.

Ibu bapa, cukuplah sekadar mendorong, memberi semangat, dan menunjuk jalan. Tetapi jalan yang ditunjuk itu mestilah ditempuh oleh anak dalam langkah kaki mereka sendiri, dan bukannya didukung ibu bapa dalam penat lelah sedia ada.

Anak-anak yang kerja sekolah zaman belajarnya adalah hasil mereka sendiri, biar pun tidak ditandakan dengan markah yang paling sempurna di mata ibu bapa dan guru, akan membantu menjadikan mereka orang dewasa yang gembira dan bahagia, berbanding anak-anak yang ‘cemerlang’ hasil kerja ibu bapanya. Sepatutnya hasil kerja mereka adalah cerminan diri mereka. Bukannya bayang-bayang ibu bapa.

Dr. Ginott menekankan peri pentingnya anak diberi ruang untuk berkembang dan membina keperibadian diri, tidak hidup dalam bayang-bayang ibu bapa. Jangan jadikan pencapaian anak sebagai batu permata yang hendak dipasang di mahkota ibu bapa.

“Cikgu minta buat esei tentang bandar-bandar Malaysia. Adik tak tahulah!” keluh anak.

Sebagai ibu dan bapa, antara kasihan dan mahu urusan anak segera selesai agar kita tidak diganggu, memang mengundang dilema. Secara prinsipnya, janganlah tolong buatkan kerja sekolah anak itu. Sebaiknya, halakan pelajar kepada sumber di mana maklumat berkenaan boleh diperolehi, khususnya buku, ensiklopedia, majalah dan suratkhabar. Kalau pun menggunakan internet, ingatkan anak supaya menilai maklumat yang ditemui, dan menjauhi perbuatan copy and paste yang membuta tuli. Utamakan proses, uzurkan kesempurnaan hasil akhir, agar markah yang diberi nanti, menjelaskan keadaan sebenar si anak.

Ibu bapa perlu percaya kepada apa yang mata kepala mereka sendiri nampak tentang pembelajaran anak-anak sepanjang hari. Itu lebih mencerminkan siapa dan di tahap mana sebenarnya anak kita.

Logikkah jika anak malas buat kerja seolah, tidak bertanya, buat kerja acuh tidak acuh, tiba-tiba keputusan peperiksaannya cemerlang, kita percaya anak kita cemerlang dan kita buat-buat lupa kerisauan kita sepanjang tahun berkenaan.

Dekatkan jarak antara apa yang kita perhati sebagai ibu bapa, dengan indikasi keputusan peperiksaan yang sekolah kemukakan.

KEENGGANAN BUAT KERJA SEKOLAH

“Along tak nak buat kerja sekolah ni! Along penat!” si anak mengamuk.

What do you mean? Tak nak buat kerja sekolah? Main, tak pulak penat? Kalau homework, sekejap aje sudah penat. Tengoklah masa dapat report card nanti!” kata emak.

Ia adalah reaksi yang paling mudah dan biasa.

Reaksi yang meluncur mengikut perasaan. Sesuatu yang boleh diubah kepada yang lebih baik jika ada kemahuan dan dengan secubit ilmu buat pedoman.

“Emak tahu Along penat. Sudah sepanjang hari Along buat macam-macam. Berehatlah sekejap. Nanti dah segar, sambung sikit lagi” emak mencuba reaksi baru.

Sikap ibu bapa terhadap sekolah dan guru, banyak mempengaruhi sikap anak-anak terhadap kerja sekolah mereka. Jika ibu bapa terbiasa meremeh-remehkan sekolah dan merendah-rendahkan guru, tentu sahaja natijah pada sikap anak-anak tidak mengejutkan. Ibu bapa dinasihatkan oleh Dr. Ginott supaya ‘mempromosi’ dan memupuk (bolster) posisi guru kepada anak-anak, dan seterusnya bersama menyokong polisi kebertanggungjawaban anak-anak melunaskan kerja rumah. Semasa guru tegas, ia peluang ibu bapa untuk lebih simpati dan memujuk anak. Tolak tarik yang positif akan Insha-Allah memenangkan semua pihak.

Sebaiknya, elakkan juga suasana merampus dan mengamuk sama ada oleh anak sendiri, mahu pun ibu bapa. Leteran dan ugutan sering muncul kerana ia boleh memberikan perasaan kepada ibu bapa bahawa sesuatu tindakan telah diambil. Sedangkan menurut Dr. Ginott, kekerasan sebegitu adalah worse than useless. Ia hanya mewujudkan suasana terkongkong, ibu bapa yang sangat mengganggu (irritating) dan anak-anak yang berdendam lagi marah.

Apabila laporan sekolah menunjukkan prestasi anak yang sangat lemah, abah mungkin bertindak dengan bahasa menghukum, “kamu dengar sini, mulai hari ini kamu kena buat homework kamu setiap hari termasuk hujung minggu dan masa cuti. No movies, no TV, no video games, dan takde lagi dah melepak-lepak rumah kawan. Abah sendiri akan pastikan kamu ikut semua tu”

Tidak ada ibu bapa yang bangun pagi dan berazam mahu menghuru harakan hidup si anak. Kita sebagai ibu bapa mahu mereka bahagia, cukup keperluannya dan menjadi insan yang lebih baik. Tetapi di pertengahan jalan, tanpa niat yang buruk, yang buruk itulah yang terjadi. Kombinasi kepenatan ibu bapa seharian bekerja, anak yang seharian di sekolah, kerja sekolah adalah minyak yang mudah disimbah ke api.

Membiarkan anak rehat dan tidak langsung menyentuh kerja rumahnya, bukanlah satu tindakan yang wajar. Sebaliknya, dengan sikap LEGAS (lemah-lembut + tegas), kekalkan intonasi yang terkawal dan tenang, nyatakan nasihat yang jelas kepada si anak.

“Angah, emak dan abah sekolahkan kamu, satu sahaja. Abah dan emak nak tolong kamu jadi seorang yang lebih baik, ada ilmu pengetahuan, ada disiplin dan sabar dengan tanggungjawab. Dunia ini memerlukan orang yang berkemampuan mengendalikan tanggungjawab. Depan-depan nanti, ada banyak lagi masalah yang lebih besar yang Angah kena hadapi dan uruskan sebaiknya. Kalau penat, berehat. Dah segar sikit, sambung balik. Boleh ye, nak?”

Berusahalah untuk mewujudkan suasana yang positif di dalam keluarga. Jauhkan keadaan yang menjadikan kerja sekolah sebagai minyak yang menyimbah api marah dan stress.

Kerja sekolah itu tanggungjawab anak. Guru memberinya secara yang munasabah, ibu bapa menyediakan suasana yang baik untuk anak melakukan kerja rumah itu, semoga pengalaman menyiapkan kerja sekolah itu menambahkan keyakinan diri, serta kepuasan peribadi, anak menikmati hasil kerja yang memang hasil kerja beliau sendiri.

Kita mampu mengubahnya.

Insha-Allah.

ABAH.MY

 

 

  1. Ilmu yang baik dengan penjelasan yang bernas..
    jazakaLLahu khoir ustaz dengan kaedah melaksanakan homework buat anak2..tips untuk buat ibu bapa yang stress dengan homework..

  2. absolutely right ustaz….saya rasa macam something wrong somewhere bila hari2 kena chc dan paksa anak buat homework tanpa ada daya neuron impulse ke otak anak utk realise tanggungjawab ke atas diri sendiri…Itu jika sy ada..klu sy x ada macam mana???Sy nk kongsiknlh cerita sendiri..sy bru saja dpt kerja n x dnafikn mjd ibubapa yg berkerja amatlh mcabar n sering tlepas pandang .Satu hari rakan sekerja yg punya anak sekelas dgn anak sy telah mberitahu anak ddenda krn x siapkn kerja skolh.Sy x marah krn itu adalh pengajaran pd anak sy n sy nyatakn pd rakan ,sy mahu dia buat kerja skolah atas dasar rasa tjwb pd diri sendiri bkn krn sy ada utk memerhati dan saya mahu anak sy berdikari dlm mbina salasiah diri.Pada anak sy nasihatkn buat krn ada rasa tjwb n cintakn ilmu,hormat guru sbb klu dia gi mana2 dia akn hadapi situasi yg sama hatta d universiti..klu ada persoaln yg tak terjawab ..dia ada mumy yg akn mberi pandangan pd persoaln..sebaiknya biasakn usaha sendiri cari jawapan krn akn dpt lebih dr yg dberi..Yes setuju sgt ,situasi begini budaya ilmu d universiti.Kawan yg menegur keculasan sy akhirnya termalu sendiri bla anaknya kerap kali d denda x siap homework bla d beritahu o anak sy…pssst..pssst..sebenarnya sy telah tahu dr awal tp sy tak gamak nk malukn dia:)

Leave a Reply to nazrimi Cancel reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.